Laluan alternatif Terowong Menora diluluskan secara prinsip - Utusan Malaysia

Laluan alternatif Terowong Menora diluluskan secara prinsip

FADILLAH Yusof memotong kek sempena 150 tahun penubuhan JKR pada Persidangan Pegawai Kanan JKR di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan secara prinsip sudah meluluskan cadangan pembinaan jalan pintas sebagai laluan alternatif untuk kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan di sini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun pihak syarikat yang dicadangkan perlu terlebih dahulu mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Memang ada cadangan pembinaan laluan alternatif itu dan ia sudah dibentangkan kepada kementerian dan kita sudah bawa ke Kabinet dan secara prinsipnya sudah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2022 di sini hari ini.

Menurutnya, setelah projek itu diluluskan secara prinsip, pihak syarikat perlu mematuhi semua syarat yang diletakkan oleh LLM  dan kerajaan.

Menurutnya, syarat yang ditetapkan termasuk antaranya kajian alam sekitar, impak sosial dan trafik sebelum projek dapat boleh dilaksanakan.

“Bagi memastikan projek ini ‘viable’ (boleh) dilaksanakan, perlu melihat bagaimana kos projek itu dan berapa tol yang dikenakan nanti untuk membayar balik hutang operasi dan sebagainya.

“Sama ada projek ini boleh dilaksanakan atau tidak, akan hanya dimuktamadkan apabila semua kajian itu selesai dan dibentangkan, sekarang ini kita sedang menunggu proses ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan membina satu jalan pintas sebagai laluan alternatif kepada kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan di sini sebagai mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dan kesesakan trafik.

Cadangan membina laluan pintas sejauh 64 Kilometer bermula dari susur keluar Gopeng melalui Seputih sebelum keluar di Kuala Kangsar itu sudah diluluskan Kabinet bulan lalu.

Sementara itu, Fadillah berkata, kementerian komited untuk menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik untuk rakyat terutama jalan raya walaupun berdepan cabaran daripada komen-komen panas netizen dalam media sosial yang membuat aduan mengenai jalan rosak.

Menurutnya, kementerian dan agensi pelaksana, JKR tidak berkecil hati dengan komen sedemikian sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memberikan maklumat dan aduan mengenai kerosakan jalan raya yang berlaku.

“Pengguna jalan raya ialah rakyat, sudah pasti mereka dekat dengan keadaan jalan raya, sebab itu mereka menjadi mata dan telinga pada kita.

“Pada, saya rakyat ini pemberi maklumat, walaupun pada keadaan tertentu ada feedback yang diterima kadang-kadang panas untuk didengar oleh kita sebagai agensi pelaksana, tapi saya sentiasa mengingatkan di peringkat kita, JKR dan kementerian menerima (aduan) dengan hati terbuka.

“Jangan berkecil hati tapi terus berikan komitmen untuk memberi yang terbaik, pastikan jalan raya sentiasa berada keadaan terbaik, sebab yang penting ialah untuk kita menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN