Keputusan kes rogol ADUN Tronoh ditangguh 27 Julai

Keputusan kes rogol ADUN Tronoh ditangguh 27 Julai

PAUL YONG CHOO KIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keputusan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dijadualkan pada Rabu ini ditangguhkan ke 27 Julai depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan.

Menurut Rajpal, penangguhan tersebut dibuat selepas pihaknya mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh berikutan ibu anak guamnya itu meninggal dunia kelmarin.

Katanya, wanita berusia 83 tahun itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat kegagalan jantung.

“Walaupun majlis pengebumian telah pun selesai hari ini, anak guam dan keluarga perlu mengikuti tempoh berkabung serta upacara lain sepanjang minggu ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Rajpal bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Choo Kiong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.

Prosiding tersebut berlangsung selama dua hari pada 16 dan 31 Mac lalu.

Sebelum ini pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas exco kerajaan negeri itu membela diri terhadap tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.

Hakim Datuk Abdul Wahab memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi dan Mohd. Fitri Sadarudin.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.