Jenazah tiga beranak selamat dikebumi - Utusan Malaysia

Jenazah tiga beranak selamat dikebumi

JENAZAH tiga beranak yang terkorban dalam kemalangan maut di Jambatan Datuk Syed Omar selamat dikebumikan satu liang lahad di Tanah Perkuburan Masjid Az-Zaitun,Kampung Lengkuas. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jenazah guru agama, Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin serta Muhammad Ziyad Haziq, 5, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Az-Zaitun di Kampung Lengkuas kira-kira pukul 5.45 petang ini. 

Dengan kehadiran kira-kira 200 individu terdiri daripada saudara-mara, rakan taulan serta penduduk kampung, ketiga-tiga jenazah itu disempurnakan pengebumiannya dalam satu liang, bersebelahan kubur arwah ibu Masyitoh.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu tiba dari Hospital Kulim menaiki dua van jenazah di rumah arwah ibu Masyitoh di Kampung Paya Kerchut, dekat sini, kira-kira pukul 4.05 petang. 

Jenazah ketiga-tiganya kemudiannya dibawa ke Masjid Az-Zaitun di Kampung Lengkuas, kira-kira pukul 5.07 petang sebelum disolatkan dengan turut disertai suami Masyitoh, Sharudin Aziz, 51 serta anak sulung mereka, Muhammad Ziyad Hadis, 10.

Masyitoh yang merupakan seorang guru pendidikan Islam bersama dua anaknya itu maut setelah kereta Proton Persona dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Muda berhampiran Jambatan Syed Omar, Kuala Ketil, petang semalam. 

Difahamkan, kejadian menyayat hati itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah setelah turut serta dalam program gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil, tempat mangsa bertugas. 

Jasad ketiga-tiga mangsa ditemukan masih berada dalam kereta tersebut seolah-olah sedang berpelukan setelah kenderaan berkenaan dibawa naik dari sungai sedalam tujuh meter kira-kira pukul 3.30 pagi ini.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN