SEREMBAN: Susulan hujan lebat berterusan lebih sejam petang semalami, beberapa kawasan di daerah ini telah mengalami banjir kilat dan dinaiki air.
Di Taman England, Sikamat di sini, lebih tujuh buah keluarga terjejas apabila kediaman mereka turut dinaiki air.
Seorang penduduk, Mohd. Razi Deaver, 36 berkata, penduduk mula menyedari air longkang berdekatan rumah masing-masing mula melimpah selepas hujan berterusan sejak pukul 3 petang.
“Hujan berterusan sehingga menyebabkan air naik semakin laju dari longkang berdekatan dan menyebabkan rumah saya dan penduduk lain dinaiki air setinggi 0.4 meter.
“Sejak tahun lalu hingga kini, sebanyak lima kali air naik dan saya sekeluarga menanggung kerugian hampir RM30,000. Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan isu ini segera,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada pukul 4.48 petang dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.
“Setibanya di Taman England, kami mendapati terdapat tiga buah rumah terjejas akibat banjir kilat. Kami mendapati penduduk telah mengeluarkan mangsa yang terjejas.
“Kami mengadakan pemantauan dan mendapati terdapat tiga kawasan lain termasuk Taman Happy dan Kampung Datuk Mansor di Rasah turut dinaiki air,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE










