‘Hanya fikir hukuman tamat bila mati’ -bekas al-Maunah - Utusan Malaysia

‘Hanya fikir hukuman tamat bila mati’ -bekas al-Maunah

MOHD. Zaini Mohd. Zainal ketika ditemui di rumahnya di Taman Ria, Sungai Petani. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang bekas ahli kumpulan al-Maunah yang dibebaskan awal, Mohd. Zaini Mohd. Zainal, 47, merasakan hidupnya berakhir selepas dipenjara sepanjang hayat kerana beranggapan tidak berpeluang dibebaskan.

Katanya, dia semakin tertekan pada permulaan dikenakan hukuman itu selepas melihat ada banduan yang dijatuhi hukuman sama hampir gila kerana terpaksa menghabiskan masa di dalam sel melebihi 30 tahun.

“Ketika itu saya hanya menangis mengenangkan nasib ekoran tidak lagi berpeluang menghirup udara segar di luar tembok penjara.

“Tekanan ketika itu sangat berat selepas merasakan saya bakal hilang nikmat hidup untuk selama-lamanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Ria di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemansuhan hu­kuman penjara sepanjang ha­yat kini dalam perancangan ke­rajaan agar digantikan dengan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan keperluan dan keadaan pada masa kini.

Beliau menambah, pemansuhan itu merupakan antara syor Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ri­chard Malanjum.
Dalam pada itu, Mohd. Zaini yang dipenjara ketika berusia 20 tahun berkata, sepanjang menjalani hukuman itu dia tidak mengambil tahu tarikh kerana kerana tahu hukuman yang dijalaninya tidak mempunyai had waktu dan hanya berakhir dengan kematian.
“Kekesalan paling besar adalah terhadap keluarga kerana terputus hubungan dengan mereka yang amat menyayangi saya selama ini. Hukuman penjara yang dikenakan ini amat perit dan hanya kepada Allah saya berserah dengan harapan akan berlaku satu keajaiban untuk masa depan saya,” katanya.

Menurut Mohd. Zaini, ketika itu dia juga beranggapan mempelajari ilmu agama dan kemahiran menjahit hanya sekadar untuk ilmu dan memenuhi masa lapang berikutan tidak boleh digunakan di luar kerana merasakan tidak berpeluang dibebaskan lagi.

“Namun kuasa Allah cukup besar apabila 20 tahun menghuni penjara akhirnya saya dibebaskan melalui pengampunan Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos 2020,” katanya.

Katanya, selepas dibebaskan dia mengalami trauma untuk menyesuaikan diri kerana keadaan persekitaran telah berubah sama sekali berbanding ketika dia belum ditahan.

“Keadaan ini juga mendatangkan tekanan kerana apa yang saya lihat tidak sama seperti ketika saya belum dipenjarakan. Tetapi selepas diberi nasihat oleh keluarga dan kawan-kawan saya akhirnya menerima kenyataan yang saya kini bebas dan mampu menikmati hidup seperti orang lain,” katanya.

Bagaimanapun Mohd. Zaini berkata, hikmah daripada hukuman itu adalah dia tidak akan terlibat lagi dengan sebarang aktiviti atau kegiatan menyalahi undang-undang.

“Rugi masa muda disia-siakan dan saya harap orang ramai menghargai peluang hidup bebas daripada melakukan perbuatan hingga dipenjarakan,” katanya yang kini mencari pendapatan dengan membantu adiknya menjual kuih dan pembantu kedai makan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN