GLC koordinasi ekosistem agromakanan  - Utusan Malaysia

GLC koordinasi ekosistem agromakanan 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ekosistem agromakanan diperluaskan dengan rantaian bekalan diterajui secara koordinasi oleh syarikat pelaburan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan bagi memastikan  kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi  kerajaan berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, ternakan, pengangkutan,  pemasaran dan sebagainya.  

Menurut beliau, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan  dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi  kegunaan pertanian sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap  import makanan. 

“Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut  dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat.  

“Kerjasama awam dan swasta dipertingkatkan bagi memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalakkan pertanian pintar dalam  meningkatkan hasil pertanian. Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi  (EAC) berkaitan sekuriti makanan yang turut bersetuju memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input. 

Ini seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini. 

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran seperti menggalakkan ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah  untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran. 

Katanya, kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan  (PEMUDAH), akan terus berusaha memodenkan peraturan-peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjak produktiviti dan daya saing  negara. 

Mesyuarat berkenaan juga bersetuju memperkukuhkan pelaksanaan  MyMudah di semua kementerian, agensi Persekutuan, negeri, pihak  berkuasa tempatan (PBT) serta persatuan perniagaan. 

Selain itu, program uji kaji peraturan yang dikelola oleh Unit-Unit MyMudah dirancakkan dengan sasaran penyelesaian isu  dalam tempoh 60 hari berbanding dengan 6 hingga 12 bulan sebelum ini.  

Jelas Perdana Menteri, temuduga pekerja asing akan dilaksanakan di negeri-negeri berbanding  hanya di pusat sehenti (OSC) Kementerian Sumber  Manusia, Putrajaya dan kerajaan akan memperkasakan OSC melibatkan semua kementerian dan agensi berkaitan proses  kemasukan pekerja asing. 

Seterusnya, bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang serius dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kerajaan bersetuju melaksanakan ‘Program Train & Place untuk Jurutera & Juruteknik’ kepada 1,000 jurutera dan 1,000 juruteknik dan memperbaiki serta mempercepat mekanisme pengambilan  ekspatriat dan pekerja asing. 

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga  Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Sumber  Manusia (KSM) akan menyelaras dengan Persatuan Industri  Semikonduktor Malaysia (MSIA) untuk segera menangani isu  kekurangan tenaga kerja ini. 

“Kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk  dimanfaatkan secara strategik mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya