Empat beranak gembira dapat tunai haji bersama - Utusan Malaysia

Empat beranak gembira dapat tunai haji bersama

Empat beranak dari kiri Qayyum Akmal Jeffri, Jeffri Mansor (bapa), Roslina Abd. Rahman (ibu) dan Aideel Jeffri merupakan antara jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama Johor dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat beranak antara 142 jemaah haji daripada kumpulan pertama yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kelmarin.

Pesara tentera, Ruslina Abdul Rahman, 52, lega dapat menunaikan ibadah haji bersama suami, Jeffri Mansor, 55, serta dua anak lelaki Muhamad Nur Aideel, 28, dan Muhamad Qayyum Akmal, 26, selepas mendaftar sejak 2008.

Sepatutnya mereka menunaikan ibadah haji ada 2020, namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19.

Namun, mereka menerima perkhabaran gembira untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada April lalu.

“Pada masa itu rasa terkilan kerana sudah membuat persiapan dan bersemangat nak menunaikan ibadah haji. Apapun rasa kecewa itu terbalas apabila ditawarkan sekali lagi pada tahun ini.

“Lebih gembira apabila berpeluang menunaikannya bersama-sama suami dan anak-anak, tidak lagi perlu runsing terpaksa berpisah dengan keluarga bagi melaksanakan Rukun Islam kelima ini,” katanya kepada Utusan Malaysia sebelum berlepas ke Tanah Suci dari LTAS.

Sementara itu, penjawat awam, Noor’ateka Jemadi, 40, yang ditemani abangnya, Ahmad Shukri, 41, sebagai mahramnya turut bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah haji kali ini.

Dia berasa gembira kerana penantiannya sejak 14 tahun tertunai, sekali gus mengubat kerinduannya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci buat pertama kali.

“Saya rasa amat bersyukur setelah rayuannya yang dibuat pada tahun lalu terjawab setelah hasrat tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.

“Abang saya juga amat gembira apabila dapat menunaikan ibadah haji lebih awal apabila menjadi mahram saya ke Tanah Suci. Emak dan ayah sudah menunaikan haji maka lebih baik membawanya bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, dua beradik, Muhammad Nur Najmi Safaruddin, 25, dan Ahmad Lutfi, 23, percaya ada hikmahnya mereka tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu.

Ketika itu, dia dan adiknya berada dalam tahun akhir untuk menamatkan pengajian setelah masing-masing melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Islam Melaka dan Kolej Universiti Islam Pahang.

“Mungkin ini hikmahnya perjalanan kami untuk menunaikan haji ditangguh kerana kami mampu lebih bersedia setelah menamatkan pengajian masing-masing.

“Insya’-Allah kami akan ingati segala pesanan dan nasihat Ibu dan ayah untuk menjaga keselamatan dan banyakkan beribadah, walaupun sedih meninggalkan mereka untuk tempoh yang panjang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.