KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu mengungguli Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dimulai dengan idea baharu sekiranya ingin meraih kepercayaan rakyat sekali gus mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya tersebut.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, BN akan diukur dengan apa yang boleh ditawarkan kepada Malaysia dengan idea, kemampuan menguruskan kerajaan dan mengetengahkan dasar lebih baik.
“Parti tanpa idea, adalah parti yang mati. Tiada siapa yang akan yakin dengan BN, jika ia gagal mengemukakan idea yang bernas untuk Malaysia. Ingat, kestabilan politik sahaja tanpa idea bagaimana mengurus negara, tidak akan mencukupi,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Tambah beliau, BN wajar menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat sebagai pasukan Malaysia dan bukannya pasukan UMNO, MCA, MIC dan PBRS secara berasingan.
Seterusnya kata Mohamad, BN wajar berpegang pada politik bermoral dan menolak opportunis serta tidak beri peluang kepada pedagang politik dengan mengetengahkan calon berilmu, berakhlak dan berprinsip.
“Ingat, dalam usaha membudayakan politik bermoral, kita sebenarnya tidak pernah berhutang dengan sesiapa. Kita tidak perlu berterima kasih kepada sesiapa. Tidak ada istilah tolak ansur dalam perkara moral,” katanya.
Menurut Mohammad, BN wajib menampilkan pemimpin serta calon ‘intergenerational’ dan terangkum yang mewakili pelbagai generasi, latar belakang dan kepentingan yang inklusif.
Mohammad menyatakan untuk menang, BN perlukan informasi bukan persepsi dan segala persediaan dan gerak kerja, mestilah disokong dengan data, pelan, dan pencapaian.
“Akhirnya kita sendiri menjadi mangsa persepsi. Sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan. Cara yang terbaik untuk membetulkan persepsi adalah, dengan melumpuhkannya dengan menggunakan kenyataan yang benar dan sahih.
“Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini, mesti segera berakhir. Kita mesti aktif, proaktif dan giat membongkar betapa gagalnya PH dan PN selama ini,”
“Yakinlah, bahawa rakyat boleh menilai. Pendekatan ‘defensive’ kita selama ini, seolah-olah menggambarkan kita lemah dan salah. Saya kadang-kadang berasa sangat kesal, atas sikap berdiam diri kita,” katanya. – UTUSAN