BN berkelebihan jika PRU dalam tempoh terdekat - Utusan Malaysia

BN berkelebihan jika PRU dalam tempoh terdekat

MUHAMMAD IZMER YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan besar jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera ketika parti pembangkang masih bercelaru dan belum ada titik persamaan.

Malah, PRU15 juga dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat iaitu sebelum Bajet 2023 iaitu antara Julai sehingga Oktober tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, pilihan raya lebih awal akan menguntungkan BN yang berada pada momentum cukup baik.

Katanya, UMNO dan BN dilihat lebih bersedia berbanding pembangkang yang masih bercelaru khususnya dalam soal kerjasama atau khemah besar dengan parti-parti politik lain.

Ujarnya, UMNO sudah pastinya belajar daripada kesan kekalahan PRU14 selepas mereka tidak mengadakan pilihan raya lebih awal ketika itu.

“Jika Datuk Seri Najib Tun Razak umumkan PRU14 pada 2017 berkemungkinan BN ada peluang menang kerana pada masa itu, pembangkang belum menemukan titik persamaan. Pada 2018, pembangkang berjaya bersatu membentuk gabungan yang cukup kuat melalui Pakatan Harapan (PH) sehingga mengalahkan BN.

“Ketika ini, pembangkang belum ada kesepakatan membabitkan komponen PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan sebagainya.

“Perikatan Nasional (PN) pula masih tidak ada kekuatan dengan kekuatan akar umbi hanya tertumpu kepada Pas semata-mata. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak ada kekuatan akar umbi yang boleh memberi saingan kepada UMNO,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU15 bersama Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Pengerusi BN itu turut menyatakan perjumpaan antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen akan berlaku bila bila masa sahaja.

Ismail Sabri pula dilaporkan berkata, beliau akan membincangkan tarikh pembubaran itu dengan lima pemimpin teratas dan Majlis Tertinggi UMNO, selain parti-parti komponen BN.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, pembangkang ketika ini tidak ada isu atau ‘peluru’ yang kuat untuk dimainkan sebagaimana sebelum PRU14.

Katanya, modal kembalikan mandat rakyat yang dibawa oleh PH dilihat tidak cukup kuat memberi keyakinan kepada rakyat selepas kerajaan PH tidak mempunyai rekod yang baik sepanjang 22 bulan memerintah.

“Selain itu, jika PRU15 segera diadakan berkemungkinan juga Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli tidak sempat merencanakan strategi terbaik dalam mengalahkan BN sekali gus turut memberi kelebihan kepada UMNO dan BN,” katanya.

Kata Muhammad Izmer lagi, dalam situasi semasa, pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 akan memberi kelebihan besar kepada BN seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×