Bajet wow pencetus PRU15 - Tok Mat - Utusan Malaysia

Bajet wow pencetus PRU15 – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas Mac dan Jun berlalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menjangkakan masa terbaik untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan Oktober ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kata beliau, pembentangan Bajet berkenaan perlu ada faktor wow memandangkan bajet berkenaan merupakan buah tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang datang daripada BN.

“Apabila kita kata bajet, ini bajet Ismail Sabri, bajet UMNOlah, bajet BN. Nak pilihan raya buatlah bajet yang elok-elok.

“Tapi bajet pilihan raya ini mesti ada sesuatu yang dipanggil sebagai wow factor, jadi buatlah. Jadi, lepas pembentangan bajet, bolehlah buat pilihan raya.

“Kalau nak buat sebelum bajet buat apa, tak ada mileage kan. Ataupun nak buat lama (lagi) selepas bajet pun tak guna juga,” katanya dalam pertemuan di ibu negara kelmarin.

Mohamad berkata, beliau sebelum ini merasakan tempoh Mac atau Jun tahun ini paling sesuai dilaksanakan PRU mengambil kira momentum kemenangan bergaya BN dalam dua pilihan raya negeri di Melaka dan Johor serta 10 pilihan raya kecil terdahulu.

Malah katanya, pembangkang turut kecundang teruk dalam pilihan raya negeri Sarawak 18 Disember tahun lalu.

“Namun kita faham sebab parti dan kerajaan dua entiti yang berbeza. UMNO…UMNO, kerajaan…kerajaan.

“Bagi pihak parti, ini parti punya wishlist, tapi bagi pihak kerajaan dan Perdana Menteri, dia ada pertimbangan-pertimbangan yang lain termasuk MoU dengan pembangkang yang akan berakhir 31 Julai ini,” katanya.

Mengenai `khemah besar’ yang sedang dirancang oleh parti-parti pembangkang, kata Mohamad, ia tidak akan berjaya membentuk kerajaan yang stabil kerana motifnya semata-mata hanya untuk menjatuhkan BN.

“Dulu Pakatan Harapan (PH) pun ada khemah yang amat besar tapi hanya bertahan 22 bulan.

“Kali ini mereka risau dengan BN. Orang kata memang takutlah pada BN. Kalau saya di sebelah sana pun saya takut. Ombak gelombang sokongan rakyat kepada BN telah kembali,” katanya.

Beliau juga berharap UMNO tidak dipersalahkan atas pentadbiran singkat kerajaan PH tempoh hari.

“Bukan kita jatuhkan PH ya. Jangan silap faham.

“Orang kata kerajaan PH jatuh sebab Langkah Sheraton. Tidak. Kerajaan PH jatuh sebab Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat mutiny.

“Mutiny ini pemberontakan ataupun mengkhianati parti dia sendiri dan bersama-sama Azmin Ali dan geng-geng dia. Apa pula nak disalahkan UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN