Wisma Negeri Melaka terbakar dan banjir, tutup hingga Jumaat - Utusan Malaysia

Wisma Negeri Melaka terbakar dan banjir, tutup hingga Jumaat

HASIL siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kebakaran litar pintas di bangunan Wisma Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bangunan Wisma Negeri terpaksa ditutup serta-merta sehingga Jumaat ini selepas terbakar dan banjir, dalam kejadian Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada kebakaran litar pintas. 

Jelasnya, susulan itu sistem semburan air automatik telah aktif di tingkat 1 bangunan tersebut yang menyebabkan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT) digenangi air. 

“Kejadian hanya disedari pada pukul 6.30 pagi semalam dan kita percaya ia disebabkan kebakaran litar pintas di dalam bangunan.

“Kebakaran tersebut merebak di bahagian langsir dan mengaktifkan sistem semburan air automatik,” katanya dalam sidang akhbar selepas memeriksa bangunan berkenaan.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, semburan air automatik aktif selama 11 jam menyebabkan PDTMT terjejas teruk, malah, beberapa siling bangunan jenis papan lembut di tingkat satu dan aras bawah turut runtuh.

“Beberapa siling runtuh dan lantai bangunan digenangi air banjir, jadi bangunan ini terpaksa ditutup sehingga hari Jumaat ini bagi kerja-kerja pembersihan dan penilaian kerosakan aset. 

“Bagaimanapun semua dokumen penting terselamat kerana ia disimpan dalam bilik kebal bangunan berkenaan,” jelasnya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya