Tiada aktiviti pembalakan di Gunung Telapak Buruk

Tiada aktiviti pembalakan di Gunung Telapak Buruk

GUNUNG Telapak Buruk di Jelebu terkenal dengan aktiviti pendakian untuk melihat bangkai pesawat pengebom tentera British yang terhempas semasa Perang Dunia Kedua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menafikan berlakunya aktiviti pembalakan di kawasan Gunung Telapak Buruk, Jelebu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cuma yang berlaku adalah aktiviti pengeluaran kayu pokok yang tumbang susulan kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan ke Stesen Pemancar Telapak Buruk yang berada di puncak gunung berkenaan sebelum ini.

Jelas beliau, bagi memastikan laluan sepanjang 14 kilometer ke stesen pemancar berkenaan dibersihkan, kerajaan negeri telah meminta pihak Jabatan Perhutanan negeri untuk melantik pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembalakan.

“Untuk tujuan pembersihan tersebut, ia telah mengambil masa selama lebih seminggu, ia diikuti pula dengan kerja-kerja mengeluarkan kayu pokok yang tumbang di sepanjang laluan tersebut juga. Pihak Jabatan Perhutanan telah melantik sebuah syarikat pembalakan yang mempunyai kepakaran tersebut dengan tugas berkenaan dan Alhamdulillah ia telah selesai sekarang.

“Tiada sebarang kos untuk kerja-kerja berikut kerana kami telah berbincang dan bersetuju untuk membenarkan untuk syarikat berkenaan mengambil kayu-kayu tumbang di sepanjang laluan tersebut, tetapi, kami yakin tiada penebangan pokok baharu.

“Jika diikutkan kos, memang kerajaan negeri tidak mampu membayar kerja-kerja berkenaan, namun, syarikat tersebut tampil menghulurkan bantuan dan ketika kita sedang berhadapan banjir pada waktu itu, kerajaan negeri menerima tawaran tersebut dan Alhamdulillah, mereka melakukan tugas berkenaan sehingga selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Tambah Menteri Besar, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pernah melantik satu pihak lain untuk membersihkan laluan berkenaan, namun, gagal melakukannya kerana kekurangan kepakaran.

Awal tahun lalu berlaku gangguan bekalan elektrik di Stesen Pemancar Telapak Buruk, Jelebu sehingga menyebabkan stesen tersebut tidak dapat beroperasi ekoran runtuhan tanah di sepanjang laluan ke puncak gunung berkenaan.

Runtuhan tanah tersebut susulan kejadian hujan lebat pada 18 dan 19 Disember tahun lalu yang turut mengakibatkan kejadian banjir besar di beberapa daerah di negeri ini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN