PETALING JAYA : Sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pertama, dekat sini, roboh akibat tanah runtuh, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi tadi bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.51 pagi tadi.
Kata beliau, sebanyak 11 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan sebuah rumah teres dua tingkat roboh akibat tanah runtuh.
“Ketika kejadian, penghuni rumah teres berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata jurucakap itu lagi, penghuni di dua unit rumah berhampiran dengan kediaman berkenaan diarahkan berpindah.
“Pihak polis juga sudah memasang sawar-sawar di lokasi terbabit,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE