Tempoh ahli Parlimen hadkan empat penggal - Utusan Malaysia

Tempoh ahli Parlimen hadkan empat penggal

parlimen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh khidmat ahli Parlimen perlu dihadkan antara tiga ke empat penggal sahaja bagi mengelakkan salah guna kedudukan, memberi peluang muka baharu serta memastikan negara terus diterajui pemimpin yang mempunyai idea-idea malar segar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan perkara itu perlu dilakukan kerana ada ahli Parlimen di negara ini yang sudah berkhidmat dengan terlampau lama sehingga tidak memberi peluang kepada orang lain, malah tidak mampu menghujah idea-idea baharu.

Sedangkan, katanya, ada negara yang telah pun mengehadkan jumlah penggal ahli Parlimen supaya ia tidak dikuasai oleh sekelompok ahli Parlimen yang tertentu sahaja.

“Kalau lihat senario politik sekarang, ramai ahli Parlimen yang mengawal keadaan kerana mereka sudah lama sama ada berada dalam kerajaan atau pun dalam parti politik.

“Kalau Perdana Menteri dihadkan dua penggal, ahli Parlimen mungkin perlu hadkan maksimum tiga atau empat penggal, itu cukup baik untuk menentukan kesegaran idea dalam kalangan ahli Parlimen terutama sekali semasa perdebatan di Dewan Rakyat atau Dewan Negara,” katanya ketika dihubungi.

Jika dilaksanakan, katanya, Malaysia berpotensi untuk diterajui oleh kalangan pemimpin yang lebih muda dan bertenaga pada masa akan datang.

“Sekarang ini dah berubah, banyak Perdana Menteri yang muda telah dilantik dan diberi kepercayaan oleh rakyat mereka seperti Finland dan Kanada, mereka memilih pemimpin yang muda usianya.

“Jadi, sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu supaya dapat mengehadkan bukan sahaja bersandarkan umur, tapi berapa lama mereka berkhidmat,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kewajaran mengehadkan tempoh perkhidmatan ahli Parlimen, selari dengan hasrat kerajaan untuk mengehadkan tempoh penggal Perdana Menteri selama dua penggal.

Ini selepas Laporan Analisis Perbahasan Ahli Parlimen Berteraskan Sains Data 2018-2019 oleh Institute for Research and Development of Policy (IRDP) menunjukkan penglibatan ahli politik berusia bawah 50 tahun adalah sangat rendah apabila sehingga 62 peratus ahli Parlimen berusia atas 50 tahun.

Malah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), calon-calon Perdana Menteri sama ada daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain semuanya berusia 60 tahun ke atas.

Purata umur pemimpin negara di seluruh dunia mencatatkan usia 62 tahun, tetapi semakin banyak negara yang dipimpin oleh pemimpin berusia 30-an dan 40-an, dengan lebih 30 negara diterajui pemimpin berusia bawah 50 tahun.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berpendapat, mengehadkan tempoh perkhidmatan dengan melantik ahli Parlimen yang muda tidak semestinya mendatangkan hasil memberangsangkan.

“Ada juga ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang masih muda tetapi bermasalah. Kalau seseorang itu sudah berada di situ banyak penggal ertinya dia diterima.

“Jadi, biar rakyat sendiri buat keputusan. Saya sendiri tidak akan duduk lama kalau saya tahu saya tidak dikehendaki. Kalau saya berdegil pun saya akan kalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN