‘Tak sabar nak tunai haji tahun ini’ - Utusan Malaysia

‘Tak sabar nak tunai haji tahun ini’

Nurshahidah Ibrahim dan suami, Mohamed Eswadi Mohamad Ali hadir menguruskan dokumentasi untuk urusan haji di Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun tertangguh akibat ‘penangan’ pandemik Covid-19, kebenaran untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah tahun ini cukup bermakna buat bakal jemaah haji yang terpilih.

Penantian demi penantian yang dilalui sebelum ini amat ‘mencengkam jiwa’ dan kini segalanya terlerai selepas dipilih menjadi tetamu Allah tidak lama lagi.

Dalam satu pertemuan bersama Utusan Malaysia di Menara Tabung Haji (TH) dekat sini, kebanyakan bakal jemaah melahirkan rasa syukur dan gembira apabila nama mereka ‘dipanggil’ untuk menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini.

Rata-rata daripada mereka juga kelihatan tidak sabar untuk menjalani ibadah haji tersebut apabila hadir ke Menara TH bagi menguruskan dokumentasi seawal pukul 9 pagi, semalam.

Seorang guru, Nurshahidah Ibrahim, 43, menyatakan perasaan gembira dan tidak sangka dipilih pihak TH untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Pada mulanya, saya mendapat giliran menunaikan ibadah haji pada tahun lalu tetapi diawalkan kepada 2020. Namun begitu, ia tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.

“Walaupun terpaksa ditangguh selama setahun, saya rasa ia wajar dilakukan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Kelmarin, Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab memberitahu, semua 123 cawangan TH di seluruh negara beroperasi bagi membolehkan bakal haji yang terpilih pada musim haji tahun ini menjalankan urusan dokumentasi berkaitan perjalanan mereka.

Ia bertujuan memberi kemudahan dan melancarkan urusan bakal jemaah haji walaupun hari Ahad merupakan hari cuti di kebanyakan negeri.

Nurshahidah berkata, ini merupakan kali pertama dia diberi peluang menunaikan haji selepas menunaikan umrah pada 2016 yang menyebabkan dia berasa teruja dan bersyukur.

“Dari segi pengurusan dokumentasi, ia sangat efisien kerana proses hanya mengambil sedikit masa. Selain itu, usaha TH untuk beroperasi pada hujung minggu sangat bagus disebabkan orang akan sibuk bekerja selepas ini,” tambahnya.

Sementara itu suaminya, Mohamed Eswadi Mohamad Ali, 44, meluahkan rasa syukur dan tidak sabar apabila terpilih sebagai tetamu rumah Allah selepas tertangguh sejak 2020.

“Saya mendaftar haji pada 2007 dan ini merupakan kali pertama saya berpeluang menunaikan haji. Buat masa ini, segala urusan dokumentasi telah selesai dan saya sedang menunggu Kursus Perdana Haji yang akan diadakan pada 15 Mei di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum mengetahui tarikh penerbangan,” jelasnya.

Mengenai kenaikan kos haji, Mohamed Eswadi berkata, dia sudah menyangka akan ada peningkatan tersebut disebabkan keadaan semasa ekonomi.

“Saya sudah mendapat tawaran menunaikan haji tahun 2020 dan ia ditangguhkan, saya tetap menyimpan duit sebagai persediaan jika berlaku apa-apa perkara. Saya juga ingin berterima kasih kepada majikan kerana tidak menghalang dan memudahkan urusan saya berangkat ke Mekah kelak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang jemaah dari Slim River, Perak, Najmi Azfar Mohd. Rosli, 36, berkata, dia sepatutnya menunaikan ibadah haji pada 2020 namun terpaksa ditangguhkan.

“Walaupun berasa teruja, ada juga sedikit perasaan berdebar dan gementar untuk pergi ke sana disebabkan proses yang berlaku agak pantas sehinggakan persiapan barang seperti kain ihram juga belum sempat dibeli.

“Saya difahamkan urusan dokumentasi perlu diselesaikan sebelum 6 Mei tetapi TH memberi tarikh lanjutan. Justeru, saya terus hadir ke sini dari kampung bagi menyelesaikan urusan,” jelasnya.

Sementara itu, sepasang suami isteri, Mohamad Aswan Mohamad Zahari, 45, dan Rohaida Hashim, 44 menyatakan perasaan bercampur-baur apabila dipilih menunaikan ibadah haji setelah hampir dua tahun menunggu.

“Sepatutnya, kami pergi bertiga bersama-sama ibu setelah mendapat giliran pada 2020. Namun begitu, sejak kerajaan Arab Saudi meletakkan syarat hanya jemaah bawah 65 tahun yang layak pergi, ibu tidak berkesempatan menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Nak gembira sangat pun, tidak boleh kerana kami berasa serba salah terhadap ibu. Tetapi, dia tetap menyuruh kami pergi kerana tidak tahu bila lagi rezeki akan dijemput ke sana,” katanya.

Mohamad Aswan berkata, pengumuman yang dilakukan pihak TH berlaku agak pantas yang menyebabkan dia dan isteri tidak sempat membuat persiapan lain.

“Begitupun, kami berharap agar perjalanan berjalan lancar dan tidak mengalami apa-apa keadaan buruk. Selain itu, kami juga berharap supaya diberi kesihatan fizikal dan mental sebelum berangkat ke sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN