fbpx

Projek stesen bumi, pusat teknologi angkasa USM siap hujung tahun ini

TUN AHMAD FUZI Abdul Razak (kiri) menandatangani papan khas sempena upacara pecah tanah untuk projek Stesen Bumi Angkasa-X dan pusat teknologi angkasa lepas di USM Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL: Projek pembinaan Stesen Bumi Angkasa-X dan Pusat Teknologi Angkasa termoden di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini dijangka siap hujung tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Angkasa-X Innovation Sdn. Bhd., Dr. Sean Seah selaku syarikat pengendali projek tersebut berkata, objektif utama pembinaan projek bernilai RM30 juta itu ialah untuk menjadi lokasi penerimaan satelit mereka yang akan lancarkan tahun depan.

“Sebaik sahaja satelit itu dilancarkan ke angkasa lepas, kami memerlukan suatu kawasan khas untuk menghantar isyarat (ground signal) dari sana.

“Justeru, selain berfungsi sebagai lokasi penerimaan isyarat daripada satelit, stesen itu juga akan berfungsi sebagai makmal atau pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) angkasa lepas dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Upacara Pecah Tanah untuk projek berkenaan yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan serta Pengarah Eksekutif Angkasa-X Innovation, Dr. William Lim.

KEMUDAHAN ASAS

Dibina di atas kawasan seluas 0.8 hektar, pusat serta stesen itu juga menyediakan kemudahan asas kepada pelajar dan para profesional untuk mendapatkan pengalaman secara ‘hands-on’ atau terus dalam penyelidikan dan pembangunan satelit.

Difahamkan, kerjasama antara kedua-dua pihak juga membolehkan penghasilan kursus profesional kejuruteraan yang pertama seumpamanya di Asia yang akan ditawarkan kepada calon penuntut di peringkat ijazah tinggi USM dalam meningkatkan keupayaan, kemahiran dan pengalaman teknikal mereka. 

Kursus profesional itu dijangka dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta yang membekalkan peralatan latihan dan sebagainya.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga komited untuk bekerjasama rapat dengan mana-mana syarikat industri teknologi berasaskan angkasa lepas demi kebaikan rakyat negeri ini.

Katanya, ia selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Transformasi Penang Digital 2021-2023 selain komitmen berterusan Pulau Pinang dalam menarik, membangun serta mengekalkan bakat dalam lapangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Dalam hal ini, saya tidak sabar untuk melihat kerjasama antara Angkasa-X, USM dan Digital Penang (syarikat mewakili kerajaan negeri) dalam mendepani gelombang baharu pelaburan strategik dalam ekonomi berkaitan teknologi angkasa lepas.

“Kewujudan stesen bumi dan pusat teknologi angkasa ini pastinya memberikan dimensi baharu terhadap kejayaan industri di Pulau Pinang dalam tempoh 50 tahun,” katanya. – UTUSAN

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!