Pharmaniaga buka kilang vaksin Covid-19, insulin halal pada 2024

Pharmaniaga buka kilang vaksin Covid-19, insulin halal pada 2024

ZULKARNAIN Md. Eusope (kanan) berbual dengan Che Aziz Che Teh di rumahnya di Kampung Kubang Palas, Tumpat, hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Sebuah kilang vaksin Covid-19 dan insulin berstatus halal milik Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) bernilai RM300 juta sedang dibina di Puchong, Selangor dan dijangka beroperasi pada 2024.

Pembinaan kilang yang bermula sejak 2020 itu sekali gus memastikan Malaysia tidak lagi bergantung kepada negara luar untuk mendapatkan bekalan vaksin dan insulin.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md.  Eusope berkata, kilang itu dijangka siap dibina pada penghujung 2023 sebelum mula membekalkan vaksin dan insulin halal pada 2024.

“Jumlah vaksin belum lagi diputuskan dan Insya-Allah, ia bergantung kepada jenis vaksin dan insulin dengan anggaran lebih 100 hingga 300 juta setahun.

“Dengan adanya kilang ini yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kita tidak lagi perlu mendapatkan bekalan vaksin dari negara luar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerah kunci rumah sumbangan Pharmaniaga kepada Che Aziz Che Teh, 65, mangsa kebakaran yang hilang kediaman pada Oktober lalu di Kampung Kubang Palas, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UAC Berhad, BT Gan.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga kini mempunyai stok sebanyak 14 juta vaksin untuk dipasarkan kepada pihak swasta.

Beliau dalam pada itu menggesa golongan Ibu bapa supaya membawa anak-anak mendapatkan vaksinasi untuk menjaga ketahanan tubuh badan mereka.

“Setakat ini hanya 30 peratus golongan kanak-kanak di negara ini yang mengambil vaksinasi Covid-19,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN