PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia dijangka memperkenalkan pelbagai inisiatif menarik untuk membela nasib dan kebajikan lebih 16 juta orang pekerja di seluruh negara ini.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, langkah itu juga sejajar trend pasaran buruh tempatan yang kini lebih berorientasikan pasaran pekerja dan bukan lagi pasaran majikan.
“Justeru, usaha kementerian antaranya akan meneliti keperluan penggubalan perundangan khusus bagi mengawal selia dan melindungi kepentingan pekerja sektor gig,” katanya lagi.
Beliau menyatakan demikian menerusi kenyataan khas bersempena dengan Hari Pekerja 2022 kali ini yang bertemakan ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara.’
Ucapan perutusan itu turut disiarkan menerusi saluran Radio dan Televisyen Malaysia hari ini susulan tiada sambutan besar-besaran sebagai menghormati kemuliaan suci bulan Ramadan.
Hari Pekerja mula disambut sebagai cuti umum di Malaysia pada 1 Mei 1973 sejajar dengan persetujuan pihak kerajaan memperakui Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Mengulas lebih lanjut, Saravanan berkata, ketika ini, dianggarkan kira-kira empat juta rakyat Malaysia menyertai ekonomi gig berbanding hanya 500,000 orang sebelum wabak Covid-19.
“Kementerian sentiasa prihatin terhadap keperluan pekerja gig dan memberi jaminan bahawa status mereka dari segi kawal selia aspek perundangan akan diteliti secara rapi,” tegasnya.
Langkah itu ujarnya, selaras dengan inisiatif diperkenalkan kementerian menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memberi perlindungan khas kepada individu berkenaan.
Ini termasuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang melindungi mereka daripada bencana ketika menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri serta meliputi penyakit dan kemalangan.
Selain itu, kementerian beliau juga akan menambah baik aplikasi digital Working For Workers (WFW) yang dilancarkan pada 3 Mei 2021 lalu dalam membela nasib dan hak warga pekerja.
Setakat 17 April lepas ujar Saravanan, ia sudah menerima 15,313 aduan dari seluruh negara dengan sejumlah 14,907 aduan daripadanya itu sudah pun berjaya diambil tindakan susulan.
“Bagi mengoptimumkan lagi penggunaan aplikasi WFW, pihak kementerian merancang untuk menambah baik kandungan dengan ada terjemahan dalam sebanyak 14 bahasa,” tambahnya.
Usaha itu kata beliau, dijangka dapat menggalakkan ramai pekerja terutama warga asing yang tidak mahir bahasa Melayu untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan hal-hal perburuhan.
Inisiatif tersebut jelasnya, selaras misi kementerian bekerjasama dengan ILO membangunkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa sejak tahun 2021 sehingga 2025 depan.
Rancangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan isu itu dapat ditangani secara kolektif dan efektif demi memelihara reputasi dan imej Malaysia.
Saravanan turut memaklumkan mengenai sasaran kerajaan agar tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi akan meningkat kepada 35 peratus menjelang 2030.
“Sehubungan itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) akan menjadi medium terbaik malah kementerian sedia berganding bahu dengan pelbagai pihak lain,” ujarnya.
Tidak ketinggalan katanya, kajian cabaran masa depan agenda Revolusi Perindustrian 4.0 akan dikenal pasti selain fokus terhadap pembangunan kapasiti tenaga kerja bakal digital. –UTUSAN ONLINE