Pengusaha katering terpaksa naik harga - Utusan Malaysia

Pengusaha katering terpaksa naik harga

KENAIKAN harga dan kekurangan bekalan menimbulkan kerungsingan buat pengusaha industri makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kenaikan harga terutama barangan asas makanan menyebabkan pengusaha katering berkira-kira untuk menaikkan harga pakej jualan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Anafea Bridal, Norkhazanah Misdi, 43, berkata, boleh dikatakan hampir kesemua barangan yang digunakan dalam perniagaan katering naik harga.

“Ini termasuk ayam, daging, minyak, sayur dan bahan-bahan memasak lain. Boleh kata semua naik harga.

“Disebabkan itu kami pengusaha katering perlu memikirkan untuk menaikkan harga pakej yang ditawarkan,” katanya di sini semalam.

Norkhazanah berkata, sebagai pengusaha, dia berharap pelanggannya dapat memahami situasi sekarang sekali gus menerima kenaikan harga yang akan ditetapkan.

“Saya harap pelanggan tidak merungut dengan kenaikan harga ini kerana kami pengusaha terpaksa berbuat demikian berikutan kenaikan harga bahan mentah di pasaran.

“Jika tidak berbuat demikian, kami bimbang ia mendatangkan kerugian buat kami yang bergantung hidup dengan perniagaan makanan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis perniagaan semalam mendapati, terdapat beberapa barangan yang sudah kehabisan stok termasuk minyak masak dan tepung gandum.

Selain itu, tinjauan di laman sosial Facebook pula mendapati beberapa pengguna meluahkan rasa runsing dengan kenaikan harga barangan asas makanan di pasaran.

Ada antara mereka yang meluahkan tentang kenaikan harga ayam segar di pasaran yang dikatakan terlalu tinggi selain rungutan ketiadaan stok ayam segar di pasaran.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN