SEREMBAN: Keputusan kerajaan untuk memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta memberi peluang kepada pemain baharu industri untuk merancakkan urus niaga rantaian bekalan makanan,
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Sembilan, Amirhamzah Karim berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan tersebut yang diumumkam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Tambah beliau, keputusan kerajaan itu juga adalah tepat pada masanya dan memberikan sinar kepada peniaga dan usahawan baharu yang ingin berkecimpung dalam pengimportan makanan yang selama ini tersekat atau terhambat dek keperluan permit import.
“Keperluan AP ini telah menyebabkan gangguan kepada sistem pembekalan rantaian bekalan makanan di negara ini yang dikuasai oleh pihak-pihak tertentu.
“Pemansuhan ini membolehkan mana-mana pengimport atau pemain baharu untuk mengimport makanan bagi keperluan pengguna akan merancakkan urus niaga rantaian bekalan makanan yang selama ini ini dibelenggu oleh orang tengah dan kartel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap, pengguna akan dapat manfaat sebaiknya daripada pembatalan lesen import tersebut.
“Penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlulah diperkemas serta diperketatkan.
“Ia agar pengimportan ini akan memberikan kebaikan daripada segi jaminan mutu serta keselamatan makanan yang diimport sentiasa terselamat daripada lambakan makanan yang telah dicemari dengan pelbagai bahan terlarang yang pastinya akan memudaratkan kesihatan pengguna nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE










