Peka gejala kes HFMD  - Utusan Malaysia

Peka gejala kes HFMD 

KHAIRY Jamaluddin (belakang tiga kiri) beramah mesra bersama warga kakitangan KKM pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ibu bapa diminta lebih peka terhadap status kesihatan anak masing-masing termasuk gejala penyakit berjangkit tangan, kaki dan mulut (HFMD) susulan peningkatan kes pada tahun ini berbanding sebelum pandemik Covid-19. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan kes HFMD pada masa ini adalah membimbangkan dan beliau telah mengarahkan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk melaksanakan tindakan intervensi terutama hebahan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). 

“Seterusnya, hebahan orang ramai berkenaan kes HFMD yang ada di kawasan mereka supaya ibu bapa tahu tentang kes dan tempat yang terlibat. Saya mohon terutama ibu bapa yang ada anak kecil supaya dapat tingkatkan lagi kebersihan kendiri anak-anak mereka. 

“HFMD ini dijangkiti antara lain melalui air liur dan biasanya kanak-kanak kecil akan meletakkan tangan di dalam mulut dan selepas itu bermain dengan mainan serta berkongsi,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini. 

Tambah beliau, pembukaan tadika dan taska serta pra sekolah juga antara sebab berlaku peningkatan kes HFMD yang agak ketara pada ketika ini.

“Kalau kita lihat kes HFMD tahun ini dengan tahun-tahun sebelumnya, kita tolak tahun pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021. Kita rujuk balik tahun 2019 dan 2018 serta mendapati, kes HFMD tahun ini lebih tinggi daripada tahun sebelum pandemik,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa perlu melihat kepada gejala HFMD dan ini penting memandangkan pada awalnya penyakit ini boleh menjadi gejala sama seperti Covid-19 iaitu demam dan hari berikutannya pula mengalami ruam.  

“Sekiranya ada gejala, saya minta ibu bapa segera bawa anak mereka ke doktor untuk mengesan HFMD. Mungkin kerana sudah dua tahun dan mungkin mereka ingat demam itu berkemungkinan perkara lain, dia tidak tahu itu HFMD. 

“Jadi anak mereka terus ke sekolah dan HFMD itu merebak, itu yang menyebabkan kes naik mendadak. Jadi saya minta jika ada apa-apa gejala, kena uji bawa ke fasiliti kesihatan sama ada ia Covid-19 atau HFMD.

“Sudah dua tahun tidak hantar anak ke taska dan mungkin ibu bapa yang baru nak hantar anak, jadi dia tidak tahu apa-apa gejala yang perlu dilihat dan dirujuk kepada fasiliti kesihatan,” katanya. 

 Mengulas lanjut, Khairy berkata, pengusaha taska dan tadika selain pentadbiran pra sekolah juga diminta sentiasa menjaga kebersihan di premis masing-masing termasuk melakukan pembersihan dan mencuci peralatan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN