MELAKA: Institut Air Melaka (MWI) yang pertama ditubuhkan di negara ini bertujuan memperkasa bidang latihan dalam sektor industri air, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan.
Beliau berkata, penubuhan MWI yang juga anak syarikat milik penuh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan memberi fokus latihan kepada 23,000 kakitangan dalam industri air di negara ini, bagi membolehkan mereka memiliki sijil hingga ke peringkat diploma.
Katanya, tumpuan utama adalah dalam kalangan kakitangan operator air, tukang paip, kontraktor dan vendor dengan mengikuti latihan dengan kerjasama Universiti Melaka (Unimel).
“Sebagai langkah awal, MWI akan menguruskan latihan kepada 700 kakitangan SAMB secara berperingkat-peringkat sebelum dikembangkan ke seluruh negara, yang mempunyai ramai operator air tetapi tidak memiliki sijil khusus dalam bidang berkaitan.
“Usaha yang dilaksanakan oleh MWI adalah selaras dengan keperluan kompetensi yang ditetapkan oleh Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
“MWI akan bekerjasama dengan Unimel sebagai pusat latihan dan pusat bertauliah yang menyediakan program latihan dan kompetensi berdasarkan keperluan dalam industri air,” katanya selepas MWI menandatangani kerjasama strategik dengan beberapa agensi di Wisma Air, Jalan Hang Tuah di sini semalam.
Majlis telah disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Mengulas lanjut, Zaidi berkata, MWI adalah tawaran baharu kepada operator air untuk menaik taraf kompetensi golongan terbabit bagi melahirkan kakitangan diiktiraf sebagai individu berkelayakan dalam bidang-bidang yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Kerajaan negeri sangat menyokong inisiatif dan mengalu-alukan kerjasama seperti ini yang pastinya memberi impak positif kepada semua pihak terlibat dan membangunkan sumber tenaga mahir,” ujarnya. –UTUSAN