Mavcom siasat isu jadual penerbangan diubah sesuka hati - Utusan Malaysia

Mavcom siasat isu jadual penerbangan diubah sesuka hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah mengarahkan semua syarikat penerbangan bagi menyerahkan segala data berhubung gangguan jadual perjalanan.

Menerusi kenyataan di sini hari ini, ia memaklumkan bahawa maklumat sepanjang tempoh perayaan dari 29 April sehingga 9 Mei itu penting bagi menilai punca asas kepada isu tersebut.

“Data yang dimohon ini termasuk informasi berkaitan penerbangan berjadual yang dirancang oleh operator tersebut berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula,” katanya.

Mavcom merujuk pelbagai aduan yang diterima berhubung tindakan syarikat penerbangan membuat perubahan secara sembarangan jadual tanpa ada notis mencukupi kepada pengguna.

Isu berkenaan tular diperkatakan ramai warganet yang meluahkan kekecewaan dengan tahap perkhidmatan disediakan apabila terpaksa membuang masa dengan menunggu begitu lama.

Mengulas lanjut, suruhanjaya tersebut berkata, siasatan yang dilaksanakan selaras dengan mandat Mavcom bagi menegakkan dan memelihara hak pengguna penerbangan negara ini.

“Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) diperkenalkan pada 2016 lalu dan diperkukuhkan lagi pada 2019 bagi bertindak sebagai titik rujukan pengguna,” katanya.

Di bawah garis panduan itu, operator udara yang terlibat dikehendaki perlu memaklumkan para pengguna mengenai sebarang perubahan dalam status penerbangan secepat mungkin.

Sekiranya penundaan berlaku selama dua jam atau lebih, syarikat itu mesti menyediakan makanan serta memberikan pengguna kepada akses untuk panggilan telefon dan talian internet.

Malahan ujar Mavcom, bagi penundaan selama lebih lima jam pula, operator berkenaan harus menyediakan penginapan dan pengangkutan jika diperlukan oleh para pengguna mereka.

“Jika masa penerbangan dijadualkan semula itu tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga perlu dibuat oleh syarikat berkenaan,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim meminta agar pengguna yang terlibat segera membuat aduan rasmi kepada operator penerbangan tersebut.

Langkah berkenaan kata beliau, meliputi segala isu penundaan jadual penerbangan selain permasalahan ketika penerbangan dan sekiranya tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya.

Pengguna digalakkan mengajukan aduan kepada Mavcom melalui laman sesawang rasmi www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart dengan dokumen berkaitan bagi siasatan.

“Pada masa sama, kami sedang memperhalusi MACPC untuk ditambah baik perlindungan kepada pengguna terutama cabaran situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa segala isu berbangkit merupakan perkara yang medesak dan Mavcom akan terus memastikan pemain industri kekal terus melindungi hak pengguna. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN