KANGAR : Harga pasaran semasa daun ketum di Thailand yang mencecah RM180 sekilogram mendorong kepada peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang tersebut ke negara jiran.
Bagaimanapun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa pantas bertindak mematahkan aktiviti penyeludupan tersebut termasuk terbaharu merampas sebanyak 70 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM12,600 di perairan negeri ini, semalam.
Daun berkenaan dirampas di kedudukan 3.1 batu nautika dari barat daya pantai Sungai Baru, Simpang Empat di sini kira-kira pukul 1.56 petang.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, rampasan dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam berkaitan sindiket tempatan yang melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.
Beliau berkata, pihaknya kemudian mengatur gerak aset laut serta pasukan operasi ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pengawasan di lokasi berkenaan.
“Setiba di lokasi, anggota bot peronda menemukan empat bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat 70 kilogram bernilai RM12,600 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
“Modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran itu adalah sama seperti tangkapan sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, semua hasil rampasan tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE