KANGAR : Pas negeri menyifatkan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo tanpa Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai menggalakkan perpecahan.sebagai menggalakkan perpecahan.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, kenyataan seperti itu amat meresahkan umat Islam kerana telah menggalakkan perpecahan berbanding penyatuan yang sedang diusahakan.
Katanya, secara jelas Allah SWT menegah umatnya berpecah-belah seperti yang disebutkan beberapa ayat di dalam al-Quran seperti ayat 103 surah Al-Imran dan ayat 10 surah Al-Hujuraat.
Maka katanya, selaras dengan perintah Allah SWT dan sejajar dengan tema Muktamar Pas ke-67 iaitu ‘Islam Menyatukan Ummah’, Pas akan terus konsisten dalam mengusahakan agenda perpaduan kerana ianya menjamin kekuatan agama, bangsa dan negara.
“Pas Perlis juga ingin mengingatkan semua pihak bahawa hanya dengan penyatuan akan mewujudkan kekuatan, kestabilan ummah dan negara akan dicapai.
“Kerana kesatuan mewujudkan sinergi kekuatan dan menutup kelemahan apabila saling bekerjasama antara parti berbanding satu parti,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, UMNO atau BN negeri akan bergerak sendirian dalam menghadapi PRU15 di Perlis.
Azlan dilaporkan berkata, pada masa ini, tidak ada sebarang kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Malah Azlan turut menjangkakan di peringkat nasional sekalipun tidak ada kerjasama politik di antara kedua-dua parti itu.
“Pada masa ini, memang kita tidak ada apa kerjasama dengan Pas dan apa yang dilakukan adalah bersendirian. Tidak ada pun kerjasama politik antara BN dan Pas pada masa ini,” kata Azlan yang juga Menteri Besar.
Disebalik kenyataan itu, Pas masih berharap MN terus dipertahankan dan tidak putus asa berusaha menyelamatkan penyatuan ummah itu.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, Pas negeri sekali lagi menyeru semua pihak agar mengenepikan perbezaan dan kepentingan politik demi penyatuan ummah.
“Teruskan usaha menjayakan penyatuan sehingga mencapai matlamatnya,” katanya.- UTUSAN