fbpx

29 Jun 2022, 8:10 am

  TERKINI

Kekurangan pekerja hotel ‘berjangkit’ ke Pulau Pinang

tony goh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Selepas Langkawi, hotel-hotel di negeri ini pula berdepan kekurangan tenaga pekerja terutamanya dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang serius sejak awal tahun ini menyebabkan operasi hotel tidak mencapai tahap 100 peratus.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, kira-kira 89 hotel di negeri itu yang berdaftar di bawah MAH berdepan dilema tenaga kerja hingga mengganggu operasi terutama ketika waktu puncak cuti hujung minggu dan musim perayaan yang panjang.

”Sebagai contoh, permintaan dari pelanggan untuk menempah bilik hotel pada cuti musim perayaan baru-baru ini amat tinggi.

”Namun, disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja, kebanyakan hotel tidak dapat membuka 100 peratus tempahan bilik mereka, sebaliknya dapat beroperasi setakat 70 atau 80 peratus sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, wujud kebimbangan industri pelancongan Langkawi, Kedah mungkin lumpuh berikutan pulau peranginan itu kini dilaporkan mengalami kekura­ngan tenaga kerja kritikal khususnya dalam bidang hospitaliti seperti perhotelan dan peruncitan untuk menampung permintaan tinggi pelancong.

Menurut Tony, selepas rentas negeri dibenarkan dan sempadan negara dibuka, jumlah pelancong domestik dan pelancong luar negara ke negeri itu meningkat dengan drastik.

Namun jelas beliau, pihak hotel tidak dapat membuka tempahan bilik sehingga 100 peratus kerana mahu menjaga kualiti perkhidmatan mereka.

”Jika tenaga kerja terutama dalam bidang pembersihan bilik tidak mencukupi, pihak hotel bimbang pelanggan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.

”Banyak iklan tawaran kerja telah dibuat dan majikan juga telah memohon untuk mendapatkan tenaga kerja asing dari agensi, namun agensi memaklumkan mereka juga tidak cukup pekerja asing,” katanya.

Dalam pada itu, Tony berkata, industri pelancongan Pulau Pinang akan kekal bertahan walaupun dalam situasi kekurangan tenaga kerja dalam bidang 3D.

”Kami akan cuba bertahan walaupun industri perhotelan perlukan lebih 3,000 tenaga kerja dalam bidang 3D pada masa ini dan kami berharap kerajaan akan bantu percepatkan kemasukan tenaga kerja asing dalam bidang ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI