Harga tiket kapal terbang naik hingga RM4,000 sehala - Utusan Malaysia

Harga tiket kapal terbang naik hingga RM4,000 sehala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Walaupun sudah ditegur Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya penyedia perkhidmatan penerbangan tidak mengenakan harga tiket terlalu mahal, masih ada syarikat penerbangan yang degil dan mengenakan harga disifatkan tidak masuk akal ketika orang ramai merancang pulang selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Situasi itu dikhuatiri menyebabkan ada yang tidak dapat kembali bekerja secara fizikal mengikut jadual dirancang dan terpaksa ‘tinggal lebih lama’ di kampung halaman untuk menunggu harga turun yang dijangka hanya berlaku hujung bulan ini.

Sebelum ini, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia secara tiba-tiba menurunkan harga tiket sebanyak 30 peratus pada musim perayaan, selepas beberapa pendedahan laporan media mengenai harga tambang ‘mencekik darah’ menyaksikan purata harga antara RM1,800 hingga hampir RM4,000 bagi perjalanan sehala.

Keadaan itu sekali gus menjawab ramalan banyak pihak harga tiket kapal terbang terutama ke Sabah dan Sarawak yang diturunkan tidak bertahan lama dan harganya kembali mahal sekiranya tiada langkah efektif untuk mengawal ‘permainan’ syarikat pengendali.

Semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi MAS untuk penerbangan semalam (5 Mei 2022) mendapati, harga tambang untuk perjalanan satu hala dari Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak RM1,239,48 (kelas ekonomi) dan RM1,712.24 hingga RM2,031.30 (kelas perniagaan).

Semakan menerusi laman web berlainan, MAS mengenakan caj bermula RM686 hingga RM4,144 sehala manakala AirAsia sebanyak RM749 hingga RM849 bagi perjalanan sama.

Memasuki Syawal kelima, harga tambang kapal terbang MAS bermula RM1,104 hingga RM2,856 dan harga tersebut berbeza-beza mengikut jadual selain beberapa perjalanan secara transit di beberapa destinasi sebelum hentian terakhir ke Kuala Lumpur.

Berbeza dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pula, harga tambang untuk penerbangan hari ini, menyaksikan harga sebanyak RM442 hingga RM520 manakala AirAsia bermula RM419 hingga RM639 sehala. Pada keesokannya, MAS mengenakan harga berjumlah RM782 hingga RM1,643 dan RM639 hingga RM829 (AirAsia).

Dari Kuching ke Kuala Lumpur untuk penerbangan tarikh sama, harga tambang kapal terbang bermula RM442 hingga RM704 manakala harga tiket AirAsia kelihatan jauh lebih rendah iaitu RM249 hingga RM356.

Bagi penerbangan dalam Semenanjung seperti dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur menyaksikan harga tiket dikenakan RM796 hingga RM1,130 (MAS) dan RM709 bagi AirAsia manakala harga tiket hanya menurun sehingga RM69 pada hujung bulan ini.

Dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur, harga tiket bermula RM355 hingga RM534 (MAS) dan AsiaAsia pula hanya RM279 hingga RM329. Dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, harga tiket dikenakan oleh kedua-dua syarikat penerbangan hanya bermula dari RM179 hingga RM249 dan harga tiket hanya turun kepada RM59 hujung bulan ini.

Menjelang Aifilfitri sebelum ini, harga tambang kapal terbang terutama ke Sabah melonjak 20 kali ganda dari harga asal sehingga mencecah hampir RM4,000, sebaliknya, harga tiket ke London dan Timur Tengah jauh lebih murah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebelum ini berkata, kenaikan harga tambang disebabkan peningkatan kos operasi seperti harga bahan api, jet dan sumber terhad bagi syarikat meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), Datuk A. Nagaraju mengulangi penegasannya sebelum ini yang kerajaan dan syarikat-syarikat penerbangan tempatan perlu menetapkan harga siling tambang kapal terbang bagi penerbangan domestik khususnya semasa musim perayaan.

Beliau mengambil maklum syarikat-syarikat penerbangan mengamalkan sistem perdagangan bebas, yang membolehkan mereka berurus niaga tanpa campur tangan kerajaan, bagaimanapun, ia hanya dilihat lebih praktikal jika dilaksanakan untuk penerbangan antarabangsa.

“Saya sudah menjangkakan harga tiket murah hanya bersifat sementara dan kembali mahal seperti sekarang. Sebab itu perlunya ada harga siling tambang kapal terbang domestik barulah syarikat penerbangan membuat pemasaran tiket.

“Kalau pun tiada tetap harga maksimum, mahu tidak mahu, kita mesti ada banyak lagi perkhidmatan penerbangan dan tidak lagi bergantung dengan apa yang kita ada sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN