PUTRAJAYA: Berita baik bagi guru kontrak perkhidmatan (COS) apabila seramai 2,400 orang daripada mereka akan diserap sebagai guru tetap menerusi kuota pengambilan khas guru secara one-off.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi rakaman video di Facebook, hari ini.
Radzi berkata, surat tawaran kepada guru COS itu akan dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebelum 31 Mei ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada yang berjaya dan buatlah yang terbaik dalam mendidik anak didik kalian,” katanya.
Katanya, menerusi pengumuman itu, 87 peratus kuota bagi program pengambilan guru secara one-off kini sudah diisi.
Radzi berkata, setakat 11 Mei lalu, seramai 13,770 guru sudah ditempatkan di sekolah- sekolah di seluruh negara.
“Kami memutuskan untuk memberi 2,400 tempat kepada guru COS manakala, baki 2,500 tempat lagi akan diisi untuk matapelajaran yang sukar.
“Baki kekosongan lain adalah untuk matapelajaran yang kita sukar mendapat bekalan daripada pasaran termasuk Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni Visual dan mata pelajaran di sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC),” katanya.
Sebelum ini, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mendesak Kementerian Pendidikan menangani nasib seramai 2,500 guru COS di seluruh negara.
Presidennya, Mohd. Azizee Hasan mendakwa terdapat 2,506 guru kontrak yang ditamatkan kontrak perkhidmatan pendidikan pada Jun ini.
Mereka adalah guru kontrak ambilan Jun 2020 di dalam bidang Sejarah, Pendidikan Jasmani, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. –UTUSAN ONLINE