Globalisasi, ekonomi serantau masa depan Johor - Utusan Malaysia

Globalisasi, ekonomi serantau masa depan Johor

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masa depan ekonomi Johor amat bergantung kepada pasaran ekonomi bebas dan berorientasikan globalisasi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu menyaksikan aspek kebergantungan dan menyokong satu sama lain di antara negeri ini dengan Singapura.

Katanya, secara realiti, Johor berada dalam kedudukan yang unik dan nadi ekonominya sangat bergantung kepada aktiviti rentas sempadan.

“Selepas sempadan antarabangsa negara dibuka semula pada awal bulan lalu telah dikemukakan pelbagai pandangan tentang trend pekerja tempatan yang terus bekerja di republik tersebut.

“Ada yang mencadangkan gaji hampir setimpal dan ada juga menyarankan pelbagai strategi tetapi mungkin mencabar untuk di realisasikan kerana ekonomi rentas sempadan telah menjadi ciri penting kepada kemajuan dan pertumbuhan ekonomi Johor selama ini.

“Bila terhentinya pergerakan di sempadan Johor dan Singapura semasa pandemik, kita boleh melihat betapa sukarnya ekonomi Johor untuk berfungsi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, kebolehsaingan Johor secara realistiknya sangat bergantung kepada kecergasan ekonomi Singapura. Justeru, masa depan Johor mesti disandarkan kepada globalisasi dan hubungan ekonomi serantau.  

“Perancangan ekonomi Johor mesti berorientasikan strategi bahawa Johor dan Singapura adalah daerah geografi yang terangkum serta terhubung serta saling memerlukan.

“Kekuatan mata wang Singapura akan terus menjadi faktor penarik utama. Tetapi, jangan lupa, mereka yang menerima upah dalam dolar Singapura inilah yang membeli rumah di Johor, berbelanja di Johor Bahru dan menyokong pelbagai sektor ekonomi Johor,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka yang bekerja di Singapura juga berpeluang meningkatkan kemahiran menjadikan mereka aset yang sangat bermutu dan mempunyai kompetensi tinggi.

“Akhirnya, biarlah pasaran yang menentukan cara gaya pekerjaan dan potensi pekerja Johor dan biarlah pekerja itu juga menentukan apa yang terbaik untuk masa depan mereka, sama ada bekerja di Singapura atau Johor Bahru,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN