KULAI: Hasrat Allahyarham Iqbal Hasnun Halimi, 23, untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir tidak kesampaian setelah terkorban dalam kemalangan tragis di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Perak, tengah malam tadi.
Menurut bapa saudara mangsa, Mohd. Hairuddin Paralan, 38, anak sulung kepada empat beradik itu bercita-cita menjadi guru agama, mengikut jejak langkah ibu bapa yang merupakan ustaz dan ustazah di Sekolah Islam Hidayah, Senai.
Katanya, mereka sekeluarga terkejut mendengar perkhabaran menyayat hati itu setelah sempat meluangkan masa bersama arwah ketika berkonvoi mengunjungi rumah sanak saudara pada Hari Raya Aidilfitri keenam, Sabtu lalu.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika itu, cumanya sangat gembira dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Dia sempat beraya bersama keluarga sebelah ayahnya di Felda Semenchu, Kota Tinggi dan dan keluarga ibunya di Benut, Pontian.
“Kami terkilan dengan kejadian yang menimpa arwah dan ketiadaannya adalah satu kehilangan besar bagi kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah arwah di Taman Impian Jaya, Senai di sini semalam.
Iqbal Hasnun bersama empat sahabatnya rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan setelah kereta jenis Honda City yang dinaiki dirempuh sebuah lori treler membawa muatan besi.
Menurut Mohd. Hairuddin, dia sekeluarga mengetahui insiden menimpa anak saudaranya yang merupakan penuntut Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar apabila dihubungi kakaknya yang juga ibu mangsa, Siti Norlaila pada kira-kira 5.30 pagi.
Katanya, dia difahamkan Iqbal Hasnun dalam perjalanan pulang dari Ipoh menuju ke rumah sewanya di Kuala Kangsar sebelum terlibat kemalangan berhampiran terowong Menora.
“Kakak menyatakan Along (Iqbal Hasnun) sudah tiada setelah terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori. Ketika dihubungi, mereka sekeluarga termasuk suami dan tiga anak lain dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar untuk menuntut jenazah arwah dan bawa pulang ke Johor.
“Kami masing-masing terkedu mendapat tahu kejadian itu dan kami juga tidak bertanya lanjut mengenai punca kemalangan kerana memahami situasi dialami ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, nenek arwah, Painam Selamat, 82, berkata, dia tidak menyangka permintaan arwah untuk menikmati nasi goreng kegemaran sejak kecil untuk sarapan pagi pada hari ketiga Aidilfitri adalah permintaan terakhirnya.
Menurutnya, cucunya itu seorang yang mudah mesra dan bertanggungjawab serta sentiasa menghormati ibu bapa.
“Sebelum ini, kami turut berpeluang beraya di rumah keluarga arwah di Senai dan ketika itu riak wajahnya tenang sahaja. Tak sangka arwah pulang ke negeri abadi bersama rakan-rakan, kami akan merinduinya selamanya,” katanya. –UTUSAN ONLINE










