Belum ada ketetapan laksana caj plastik 20 sen di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Belum ada ketetapan laksana caj plastik 20 sen di Negeri Sembilan

TEO Kok Seong (tiga dari kanan) selepas merasmikan Program WMAM Eco Youth Challenge (WEYC) 2022 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan belum membuat ketetapan sepenuhnya untuk melaksanakan caj pencemaran plastik dengan nilai minimum 20 sen bagi setiap helai beg plastik di seluruh negeri ini melalui ‘Kempen Tanpa Beg Plastik’ seperti di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk menjayakan kempen tersebut memandangkan ramai lagi yang tidak bersedia menggunakan beg kitar semula ketika membuat pembelian. 

“Bagi saya bukan caj 20 sen itu yang perlu ditekankan sebaliknya, paling penting kita perlu galakkan orang ramai untuk membawa beg kitar semula ketika membeli-belah. 

“Tidak dinafikan ada peniaga di negeri lain sudah mengutip 20 sen bagi pihak kerajaan. Tetapi untuk perkara ini (caj) belum dilaksanakan sepenuhnya di Negeri Sembilan, namun kita menyambut baik bagi mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Persatuan Pegurusan Sisa Malaysia (WMAM) Eco Youth Challenge (WEYC) 2022 dengan kerjasama syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Coca Cola Malaysia. 

Menurut Kok Seong, setakat ini pelaksanaan caj 20 sen itu dilaksanakan di pasar raya utama di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sebagai satu bentuk kesedaran. 

“Kita telah pun laksanakan ‘Kempen Tiada Beg Plastik’ di premis pasar raya dan kedai runcit di bawah MBS tetapi belum ada ketetapan khas untuk mengutip 20 sen daripada kempen tersebut.

“Sejak tahun lepas, kita sudah uar-uarkan Kempen Tiada Beg Plastik di pasar raya utama di negeri ini, tetapi sambutan tidak begitu memuaskan kemungkinan agak sukar bagi sesetengah orang kerana sudah terbiasa menerima beg plastik dan mereka lebih sanggup membayar 20 sen,” katanya.

Selasa lalu, media melaporkan semua kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan caj pencemaran plastik dengan nilai minimum 20 sen bagi setiap helai beg plastik melalui Kempen Tanpa Beg Plastik seperti yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan memaklumkan, kementeriannya telah mendapat mandat daripada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-76 untuk mengenakan caj pencemaran itu.

Sementara itu, Pengerusi WMAM, Ho De Leong berkata, SWM Environment menyasarkan sejumlah 116.2 tan sisa kitar semula dapat dikumpulkan melalui program WEYC 2022 iaitu meningkat 12 peratus berbanding 103.75 tan pada program sama pada 2018.

De Leong berkata, pada tahun ini pihaknya  memfokuskan isu plastik melibatkan penyertaan 150 buah sekolah menengah dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Kami memilih tema plastik kali ini kerana ia paling banyak digunakan dalam kehidupan seharian dan bahan itu juga paling banyak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya