Bakat Delisha pikat Akademi Tenis Australia

Bakat Delisha pikat Akademi Tenis Australia

Delisha Amanda Muhamad Ezuwan mendapat pengiktirafan apabila ditawarkan menimba ilmu menyertai Akademi Latihan iTennis Melbourne, Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bakat pemain tenis cilik, Delisha Amanda Muhamad Ezuwan mendapat pengiktirafan apabila ditawarkan menimba ilmu menyertai Akademi Latihan iTennis Melbourne, Australia.

Pemain berusia 11 tahun dari Ipoh itu akan menjalani latihan di akademi terkenal itu selama 12 minggu bermula 2 Oktober ini.

Bapanya, Muhammad Ezuwan Ahmad berkata, Delisha, pelajar tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent di sini, itu akan mendapat asuhan daripada pengarah akademi berkenaan, Chris Singh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Delisha yang memenangi banyak kejohanan remaja tempatan dan kebangsaan dikesan oleh pencari-pencari bakat iTennis Melbourne melalui program pencarian di Asia Tenggara.

Dalam surat jemputannya kepada pemain itu melalui Muhammad Ezuwan, 38, Chris Singh menyifatkan Amanda berpotensi untuk menjadi seorang pemain bertaraf dunia.

Justeru Ezuwan dan isterinya, Suzyla Sarlan tidak mahu melepaskan peluang keemasan memberi pendedahan kepada anak mereka.

“Ini peluang keemasan untuk Amanda menimba ilmu dalam sukan itu.Rugi jika tidak guna peluang ini.

“Jadi kami akan menghantarnya ke Melbourne agar dapat mendalami ilmu bagi memenuhi impian kami agar dia menjadi seorang pemain tenis profesional,” kata Ezuwan yang akan mengiringi anaknya sepanjang berada di Australia.

Ezuwan mengakui menghadapi kekangan terutama dari segi kewangan walaupun anaknya mendapat tajaan dari Yonex Sunrise dan Horleys Malaysia.

“Mereka tidak beri wang tunai tetapi barangan. Jadi Amanda perlukan tajaan kewangan,” kata Ezuwan.

Oleh yang demikian, pasangan itu merayu penaja terutama pihak korporat tampil menghulurkan bantuan dalam menjayakan impian Amanda.

“Sebenarnya ini baharu permulaan kerana selepas ini Amanda akan memerlukan tunjuk ajar seorang jurulatih sepenuh masa sekembali dari Melbourne.

“Kami akan memerlukan lebih banyak dana bagi membiayai kos sewa gelanggang untuk latihan selepas ini.

“Jika ada individu, pertubuhan atau syarikat korporat sudi menghulurkan bantuan memang dialu-alukan,” kata Suzyla. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×