HANOI – Aura memakai jersi negara ternyata menjadi azimat buat atlet berbasikal lebuh raya negara, Nur Aiman Zariff selepas membutirkan pingat emas pada Sukan SEA Vietnam 2021 kelmarin.
Pelumba berusia 25 tahun itu mengakui dia sangat berbangga dalam menjulang kemenangan lebih-lebih lagi berjuang membawa nama Malaysia.
Katanya, emas Sukan SEA lebih bermakna daripada jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) ketika dimenangi pada tahun lalu bersama pasukan Team Sapura Cycling (TSC).
“Bagi saya raih kemenangan di Sukan SEA lebih bermakna kerana ia adalah temasya kita menang ketika memakai jersi negara dan bertanding di atas nama Malaysia
“Saya rasa bangga dengan kejayaan ini kerana kali pertama menyertai Sukan SEA dalam acara lebuh raya. Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur saya hanya beraksi dalam acara trek,” katanya yang dinobatkan sebagai Raja Bukit di LTdL 2020.
Pelumba yang kini beraksi dengan Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu menghadiahkan emas ke-37 negara kelmarin selepas menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam acara lebuh raya individu lelaki di Hoa Binh.
Dia mencatat masa tiga jam, 48 minit dan 22 saat dalam saingan sejauh 162.2 kilometer untuk mengetepikan Aiman Cahyadi (perak) dari Indonesia dan pelumba Thailand, Navuti Liphongyu (gangsa).
Selain Aiman turut beraksi dan membantunya menjulang kemenangan ialah Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Nur Aiman Rosli, Akmal Hakim Zakaria dan Zawawi Azman semasa perlumbaan. – UTUSAN










