KAJANG: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melaporkan seramai 5,877 penagih yang selesai menjalani rawatan di bawah agensi itu dikesan kembali menagih pada tahun lalu.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 15,000 penagih yang selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan.
Beliau berkata, tahun lalu, penagih di AADK dalam komuniti adalah seramai 73,113 orang dan penagih dalam institusi pula seramai 7,133 orang.
“Secara keseluruhan, kadar pemulihan penagih di AADK pula adalah sekitar 65 peratus.
“Kami difahamkan, beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan penagih dadah ini kembali termasuk sikap individu itu sendiri, pengaruh kawan-kawan, kurang mendapat perhatian dan sokongan keluarga dan pandangan serong masyarakat,” katanya ketika berucap melancarkan Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) Bagi Program Rawatan Dan Pemulihan Penagihan Dadah AADK (MRT AADK), hari ini.
Katanya, MRT AADK adalah antara usaha penting bagi memberi khidmat kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.
Hamzah berkata, khidmat itu ditawarkan di luar premis AADK dan dilaksanakan pasukan MRT AADK di 14 buah pejabat AADK negeri di seluruh negara.
Menurutnya, ketika ini, dua kumpulan MRT diwujudkan membabitkan lapan pegawai AADK yang mahir dalam rawatan dan pemulihan penagihan dadah.
“Kami menyasarkan untuk melatih seramai 110 pegawai AADK bagi memperkuatkan pasukan MRT ini pada masa depan.
“Projek rintis MRT AADK ini dilaksanakan kepada banduan yang terlibat dengan penagihan dadah pada tahun 2021 dan mendapat respons yang baik daripada banduan yang terlibat,” katanya.
Katanya lagi, kerjasama antara AADK dan Jabatan Penjara Malaysia juga menjadi satu pendekatan penyelesaian masalah bagi mengatasi masalah banduan dadah yang kembali menagih. –UTUSAN ONLINE