MUAR: Lima pengendali perniagaan air nano automatik di daerah ini dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 kerana beroperasi tanpa lesen serta tahap kebersihan tidak memuaskan.
Kompaun dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar susulan Operasi Lak/Sita Mesin Jual Air (MJA) yang dijalankan semalam.
Pegawai Epidemiologi PKD Muar, Dr. Mohd. Ridzuan Mohd. Lutpi berkata, pengendali mesin air nano itu melibatkan premis yang terletak di Jalan Salleh, Jalan Temenggong Ahmad, Sungai Abong dan Parit Perupok, di sini.
“Hasil operasi yang kita jalankan, pihak kami berjaya mengesan lima mesin air nano automatik beroperasi tanpa lesen.
“Selain itu, tahap kebersihan mesin berkenaan juga berada dalam keadaan tidak memuaskan kerana dipenuhi najis cicak selain dihurung serangga,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.
Dr. Mohd. Ridzuan berkata, selain kompaun, arahan penutupan operasi turut dikeluarkan sehingga pengendali terlibat memperoleh lesen sah daripada PKD.
Jelasnya, ini sebagai jaminan bahawa mesin air yang berada di sekitar daerah Muar berada dalam keadaan bersih.
Ujarnya, kegagalan pemilik memohon lesen mengendalikan MJA menyebabkan mesin berada dalam keadaan terbiar sekali gus memberi risiko kepada kesihatan pembeli.
Terdahulu, dalam operasi berkaitan di premis makanan, PKD Muar turut mengeluarkan empat Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dengan pelbagai kesalahan.
Antaranya, nama sebutan sebenar makanan tidak dinyatakan, tidak menyatakan nama dan alamat perniagaan pengimport di Malaysia selain menjual makanan yang telah luput tarikh dengan amaun keseluruhan bernilai RM13,500.
Selain itu, 37 Notis 32B juga dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan amaun kompaun keseluruhan RM6,000. –UTUSAN ONLINE