Warga Indonesia mengamuk diberkas dipercayai ada masalah mental - Utusan Malaysia

Warga Indonesia mengamuk diberkas dipercayai ada masalah mental

RAMLI Mohamed Yoosuf (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz sempena Program Pencegahan Jenayah Ketua Polis Pahang Bersama Masyarakat Daerah Pekan di perkarangan Masjid An-Nur Kampung Ketapang Hilir, di Pekan, Pahang.- UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Warga Indonesia yang meloloskan diri selepas bertindak membakar kereta polis di Kampung Selengkong, Nenasi, di sini, berjaya diberkas sekitar pukul 4.20 petang tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek kemungkinan mempunyai masalah kesihatan mental, namun, siasatan lanjut masih perlu dilakukan. 

“Andaian saya berkemungkinan suspek berhalusinasi berdasarkan tindakan yang dilakukan ke atas tiga anggota yang melakukan siasatan selepas menerima aduan. 

“Kita juga akan menyiasat bahan api yang dibaling ke dalam kereta polis dan siasatan awal berkemungkinan malatov koktel digunakan berdasarkan kepada kecepatan api merebak sehingga memusnahkan kereta polis,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pencegahan Jenayah Ketua Polis Pahang Bersama Masyarakat di Masjid An-Nur Kampung Ketapang Hilir di sini. hari ini. 

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin.

Sebelum itu, suspek yang dikenali dengan nama ‘Asri’ itu dipercayai mengamuk dan bertindak membakar kereta peronda polis jenis Proton Waja dalam kejadian di Matau Kampung Selengkong, Nenasi, di sini, sekitar pukul 11 malam, semalam. 

Kejadian itu menyebabkan anggota polis mengalami kecederaan ringan selain kereta polis terbakar hampir keseluruhannya. 

Tambah Ramli, lelaki berusia lingkungan usia 30-an itu berjaya ditangkap berdekatan kawasan kejadian oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan melalui Op Kesan yang dijalankan.

Beliau juga berkata, turut dirampas bersama suspek ialah sebatang tukul dan kayu dipercayai digunakan dalam kejadian amukan terbabit. 

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Pekan untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN