KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) meneruskan tradisi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal ini bagi meraikan kira-kira 300 pelajarnya yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, penganjuran majlis itu sekali gus membolehkan para pelajar merasai suasana kemeriahan Aidilfitri di samping menikmati pelbagai juadah enak menerusi majlis yang diadakan di masjid.
Katanya, majlis bermula dengan aktiviti solat sunat secara berjemaah disusuli dengan jamuan makan.
“Kebanyakan yang tidak dapat pulang ialah pelajar dari Sabah dan Sarawak di samping penuntut antarabangsa.
“Majlis yang diadakan itu merupakan usaha pihak universiti bagi menceriakan mereka yang tidak pulang beraya bersama keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Festival Ramadan di Masjid Unisza di sini semalam.
Tahun lalu, seramai 450 pelajar Unisza yang tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri di kampung berpeluang menikmati juadah hari raya yang diagihkan pihak universiti.
Sementara itu, Fadzli berkata, Unisza memperuntukkan sebanyak RM665,026.40 sepanjang Ramadan ini bagi membantu seramai 23,863 penerima dalam kalangan B40 termasuk pelajar, komuniti setempat dan kakitangannya.
Katanya, antara program yang dilaksanakan termasuk penyediaan juada berbuka puasa, bantuan baucar tunai Food@Campus, zakat, peranti tablet dan pelan data di samping infaq Ramadan. –UTUSAN ONLINE