PETALING JAYA: Kewujudan Islam di Perancis bukan sehari dua bahkan sudah bertapak sejak ratusan abad lalu, sehingga penganutnya mencecah enam juta orang ketika ini.
Justeru, tidak timbul isu keselamatan atau diskriminasi terhadap komuniti Islam yang menjadi populasi terbesar di Eropah Barat ketika sentimen Islamofobia semakin menebal di kebanyakan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague berkata, Perancis adalah sebuah negara yang sangat mesra dengan semua agama.
Jelasnya, isu perkauman adalah melibatkan fahaman individu dan kelompok tertentu serta tidak mencerminkan identiti keseluruhan sesebuah negara.
“Adakah golongan rasis di Perancis? Adakah ahli politik yang cuba mencetuskan isu perkauman di Perancis?
“Jawapannya ya dan golongan itu juga berada di negara lain,” katanya.
Beliau mengulas mengenai sentimen Islamofobia yang semakin berkembang di Perancis sehingga menyebabkan penduduk beragama Islam berdepan tekanan dan sering dijadikan sasaran sekiranya berlaku insiden jenayah.
Dua tahun lalu, media antarabangsa melaporkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron pernah mengeluarkan kenyataan penuh kontroversi berhubung ‘Islam adalah agama yang dibelenggu krisis di seluruh dunia ketika ini’.
Macron melemparkan kenyataan berhubung insiden pembunuhan guru lelaki yang dipenggal kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW di Paris.
Perancis masih dibelenggu isu diskriminasi sehingga mendorong golongan Islam berpendidikan tinggi berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan mempunyai lebih banyak kebebasan.
Mengulas lanjut, Galharague berkata, Islam adalah sebahagian daripada budaya di Perancis dan tidak timbul soal ancaman ‘bahaya’ terhadap penganutnya.
Katanya, penduduk dunia perlu membezakan fahaman Islam sebenar kerana ada ‘kelompok’ yang cuba mengeksploitasi agama demi kepentingan tertentu.
“Kita perlu sedar memang ada siri serangan keganasan di Perancis sejak beberapa tahun lalu yang kononnya dilakukan atas nama Islam. Namun, kita percaya itu bukan Islam sebenar.
“Islam adalah agama yang perlu dihormati dan seperti agama lain tidak sama sekali menyokong keganasan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Galharague menjelaskan persepsi buruk dan stigma terhadap Perancis perlu diubah kerana negara ini meraikan kebebasan beragama.
Menurut beliau, rakyat Perancis sangat bertoleransi dengan suasana persekitaran kepelbagaian agama yang dianuti.
“Perancis sememangnya selamat kepada orang Islam, malah kita mempunyai lebih 2,500 masjid di sana. Kita mengiktiraf kewujudan komuniti Islam yang besar di negara ini seperti kita mengiktiraf komuniti lain.
“Negara ini mengamalkan sikap neutral dengan semua agama. Jadi, sudah tentu selamat untuk dikunjungi oleh sesiapa pun,” jelasnya. – UTUSAN