Tempahan bilik hotel meningkat, pekerja pula tak cukup - Utusan Malaysia

Tempahan bilik hotel meningkat, pekerja pula tak cukup

Sektor perhotelan antara yang terjejas kerana kekurangan pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar tempahan penginapan hotel di negara ini menunjukkan aliran peningkatan, namun ia tidak selari dengan jumlah kakitangan yang ada pada masa ini.

Berdasarkan pengamatan industri, majoriti bekas pekerja tidak mahu kembali dalam industri selain selesa bekerja sendiri menyebabkan pihak hotel terpaksa menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja baharu iaitu melebihi 50 peratus daripada gaji lama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, pembukaan sempadan negara pada Jumaat lalu menjadi titik permulaan bagi merancakkan semula sektor perhotelan, namun, tidak ramai pekerja tempatan menyahut seruan untuk mengisi kekosongan itu.

Malah pihaknya menjangkakan kadar tempahan penginapan terus meningkat selepas tamat bulan Ramadan.

“Walaupun begitu, sektor perhotelan masih berada dalam dilema kerana kadar tenaga kerja yang belum. Ramai pekerja sektor ini tidak berminat untuk kembali walaupun terdapat beberapa hotel yang bersedia untuk menyediakan gaji yang lebih tinggi.

“Kami kini sedang cuba membawa pendekatan untuk mengambil pekerja seperti ibu tunggal dan bekas banduan bagi mengisi kekosongan yang ada,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein, masih banyak hotel yang tidak dapat untuk buka dengan kapasiti penuh kerana kekurangan tenaga pekerja dan perlu memastikan kestabilan perniagaan sebelum dapat mengambil lebih ramai pekerja.

“Kita tahu sekarang sempadan telah dibuka dan mengharapkan pemulihan maksimum untuk sektor perhotelan, bagaimanapun kita tidak lagi dapat membuka semua bilik kerana takut tidak mampu menampung pertambahan pengunjung.

“Sekiranya hotel buka semua bilik iaitu kapasiti penuh, ketika hari yang pengunjung ramai, kita mungkin membuatkan mereka menunggu lama untuk tunggu bilik siap.

“Dalam tempoh Ramadan ini, kita mengambil pekerja sambilan untuk melancarkan operasi perniagaan,” jelasnya.

Sepanjang dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, MAHO mendedahkan puluhan hotel bertaraf empat dan lima bintang telah pun gulung tikar akibat tidak lagi berdaya saing selain hanya berharap kepada pelancong domestik.

Sektor perhotelan tempatan mengalami kerugian mencecah RM350 juta untuk setiap dua minggu dan berkemungkinan jumlahnya lebih daripada anggaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN