PETALING JAYA: Veteran UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, 94, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di sini pada 8.43 malam tadi, akibat sakit tua.
Allahyarham yang juga bekas Menteri Pertahanan dikatakan mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.
Utusan Malaysia difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi ini untuk dimandikan dan solat jenazah di masjid itu serta akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Penerangan dan Fungsi Khas (1974).
Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Penerangan (1986).
Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 1970 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.
Dalam arena politik, Allahyarham merupakan bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO pada 2001 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1987).-UTUSAN ONLINE