"Rindu nak menyanyi, jumpa rakan seperjuangan" - Rocky Din - Utusan Malaysia

“Rindu nak menyanyi, jumpa rakan seperjuangan” – Rocky Din

KEHIDUPAN Rocky Din,73, banyak diuruskan oleh isterinya Hasna Hasan, 66, termasuk membantunya melakukan senaman ringan fisioterapi di kediaman mereka yang terletak di Telok Ayer Tawar dekat Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Disahkan menghidap strok dua tahun lalu, penyanyi yang pernah popular ketika era 1960-an, Rocky Din atau nama sebenarnya Mohd. Hashim Shariff, 73, mengakui hidupnya seperti hilang semangat.

Ini kerana katanya, dia terpaksa meninggalkan dunia seni suara yang sudah sebati dalam dirinya sejak dari usia remaja.

“Memang rindu nak menyanyi, rindu rakan-rakan artis yang sama-sama naik dulu.

“Namun, mujur ada isteri dan anak-anak di sisi yang banyak membantu menguruskan diri ketika sakit. Terubat juga sakit yang dirasa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di Telok Ayer Tawar, di sini semalam.

Katanya, dek terlalu merindui bidang nyanyian, dia bersama isteri, Hasna Hasan, 66, sesekali akan meluangkan masa di sebuah hotel terkemuka yang juga merupakan tempat kerjanya dahulu, Hotel Pen Mutiara dekat Batu Maung untuk melepaskan ‘gian’.

“Kadang-kadang kalau rasa rindu nak menyanyi isteri akan bawa saya ke Pen Mutiara memandangkan sebelum sakit saya bekerja sepenuh masa di sana sebagai penyanyi tetap,” kata bapa kepada lima anak itu.

Mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak berusia belasan tahun lagi, Rocky Din berkata, antara rakan artis yang pernah datang melawat di kediamannya termasuk penyanyi era 1960-an sehingga 1980-an Najib Hanif, L. Ramli, Rohayu Majid serta Siti Fairuz.

“Saya teringin nak berjumpa rakan-rakan artis sezaman seperti Hail Amir, DJ Dave dan lain-lain. Harap ada kesempatan itu,” katanya yang merupakan ahli seumur hidup Persatuan Seniman Malaysia.

Beliau menambah, tumpuan utama ketika ini adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan diri seterusnya membolehkannya kembali ke arena seni suara jika diberi kesempatan.

“Sekarang saya hanya nak fokus kepada kesihatan diri. Malah, sejak sakit strok, isteri banyak menguruskan diri memandangkan hanya kami berdua sahaja tinggal di rumah. Jadi, kesian tengok dia sebab kudrat orang perempuan tak sama dengan lelaki,” katanya yang diserang strok pada sebelah kanan badan.

Rocky Din yang popular dengan lagu ‘Marilah Mengundi’ menambah, berikutan doktor menyatakan dirinya mempunyai peluang yang cerah untuk sembuh, dia sedaya upaya untuk tidak sesekali mengabaikan arahan doktor selain menjaga pemakanan.

“Sekarang ada rasa perubahan positif. Kalau dulu tak boleh berdiri nak solat, sekarang dah boleh berdiri. Tangan pun boleh angkat sikit-sikit. Cuma nak berjalan tu masih lagi memerlukan rawatan fisioterapi di Klinik Kesihatan Butterworth,” katanya.

Sementara itu, Hasna berkata biarpun aktiviti Rocky Din banyak dihabiskan di atas kerusi roda, namun dia bersyukur kerana suaminya berkenaan tidak bersungut dengan kekurangan diri sebaliknya menjalani kehidupan seperti biasa dan ceria.

“Dia memang seorang yang suka berjenaka. Kadang-kala orang sakit ni ada masa mereka stres, tapi dia tak ambil pusing sangat sebab dia seorang yang ceria. Kita pun kadang-kadang terhibur juga dengan keletahnya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN