PUTRAJAYA: Setelah lepas tiga bulan dibentuk, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu Tabung Haji sudah pun memanggil 43 orang saksi untuk dirakamkan keterangan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi kenyataan di sini hari ini.
Sehingga 26 April 2022, RCI juga telah mengenal pasti dan memanggil pelbagai agensi yang boleh membantu siasatan bagi mendapatkan gambaran dan situasi berkaitan,” katanya.
RCI itu ditubuhkan pada 19 Januari lalu setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Mustafa Billah Shah di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Ia diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif dengan lima ahli termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman yang dilantik pada 21 Januari.
Pembentukan RCI tersebut dipersetujui Kabinet pada 14 Julai 2021 bagi menyiasat isu yang berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Tabung Haji dari 2014 sehingga 2020 lalu.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, setakat kelmarin, RCI berkenaan sudah mengadakan mesyuarat mereka sebanyak tiga dengan yang pertama berlangsung pada 26 Januari lepas.
“Penubuhannya bertujuan bagi melakukan siasatan rapi dan menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda dalam tempoh enam bulan ditubuhkan,” jelasnya.
Beliau turut berkeyakinan bahawa laporan akhir RCI mengenai isu agensi dana pendeposit haji nasional tersebut dijangka dapat diselesaikan paling lewat menjelang akhir Julai ini.
Skop siasatan mereka turut merangkumi hasil pengauditan tiga firma juruperunding dilantik dari 2014 hingga 2020 iaitu PriceWaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger.
Isu Tabung Haji pernah dijadikan bahan modal kempen politik oleh Pakatan Harapan bagi memburukan Barisan Nasional untuk menang ketika Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Kontroversi dicetuskan blok siasah itu telah berjaya menyebabkan ramai pendeposit bertindak menutup akaun dan mengeluar simpanan kerana terpengaruh dengan dakwaan disebarkan.
Bagaimanapun masyarakat Islam mula meragui tohmahan itu apabila banyak aset strategik Tabung Haji dijual pakatan tersebut kepada pihak asing konon bagi pembayaran hutang lama. – UTUSAN