KUBANG PASU: Jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia dijangka tidak terjejas walaupun pembukaan sempadan negara pada hari ini hampir dengan bulan Ramadan.
Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, elemen yang ada dalam bulan mulia itu sebaliknya boleh digunakan untuk menarik pelancong seperti yang dilaksanakan dalam tahun-tahun sebelum ini.
“Sebelum ini, kita pernah buat acara berbuka puasa beramai-ramai dan itu merupakan antara pakej yang pelancongan yang boleh ditawarkan kepada pelancong. Kita boleh gunakan Ramadan ini sebagai salah satu elemen mempromosikan pelancongan di negara ini.
“Jadi, saya tak nampak ada halangan untuk pelancong hadir ke sini ketika Ramadan. Namun disebabkan sempadan kita baru dibuka, kita akan tengoklah dulu bagaimana trend kemasukan pelancong itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan serta Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr. Robert Ling Kui Ee melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Sementara itu, Ammar berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dan tidak menolak kemungkinan untuk menilai semula sasaran kedatangan dua juta pelancong ke negara ini, untuk tahun ini.
“Seperti diumumkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini, kita menyasarkan kedatangan kira-kira dua juta pelancong dan pendapatan berjumlah RM8.6 bilion. Namun, perlu diakui, segalanya kini berada dalam ketidaktentuan dalam industri pelancongan di seluruh dunia.
“Dalam keadaan sekarang, jadual penerbangan pun masih belum kembali kepada asal. Kita tengok dalam sebulan dua ini atau beberapa bulan lagi sebelum buat sasaran baharu, jika diperlukan,” katanya.
Mengulas lanjut, tambahnya, Tourism Malaysia ketika ini sudah pun melancarkan pelan pemasaran di pejabat-pejabat agensi itu di luar negara.
“Kita dah aturkan beberapa program untuk capai sasaran ini dan perkara tersebut telah disampaikan kepada pihak industri. Jadi bila kita adakan promosi di luar negara, pemain industri perlu bersedia menerima pelancong yang datang ke negara ini nanti,” katanya. –UTUSAN ONLINE