Polis lepaskan tembakan kepada Perodua Myvi cuba rempuh polis - Utusan Malaysia

Polis lepaskan tembakan kepada Perodua Myvi cuba rempuh polis

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah Perodua Myvi selepas cuba melarikan diri dari pemeriksaan sehingga nyaris merempuh anggota polis bertugas dalam kejadian di Bandar Sungai Long di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku ketika tiga anggota yang sedang membuat rondaan cegah jenayah cuba menahan pemandu kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, bagaimanapun suspek memecut laju kenderaan selepas diarahkan berhenti dan anggota bertugas segera mengejar suspek sekitar tiga kilometer (km).

“Ketika cuba mengejar suspek, kenderaan dinaiki suspek beberapa kali cuba menghimpit anggota yang menaiki motosikal.

“Setibanya di jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan membuat pusingan U lalu cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zaid berkata, susulan itu, anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta dinaiki bagi mempertahankan diri, namun, suspek berjaya meloloskan diri.

Ujar beliau, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan di sekitar Bandar Sungai Long di sini.

“Beberapa individu masih dikesan untuk membantu siasatan dan polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Kajang hari ini,” katanya.

“Hasil penahanan suspek, polis merampas kenderaan jenis Perodua Myvi warna merah yang mempunyai kesan tembakan dipercayai dalam kes berkenaan.” ujar beliau.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN