Pakej taubat: Pemilik akaun Facebook mengaku silap - JAIS - Utusan Malaysia

Pakej taubat: Pemilik akaun Facebook mengaku silap – JAIS

MOHD. SHAHZIHAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilik akaun Facebook yang memuat naik poster tawaran pakej taubat bernilai RM20 dilaporkan mengaku kesilapan dan diarah menarik semula hantaran berkenaan berkaitan kempen wakaf al-Quran.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan, kempen berkenaan adalah mengelirukan dan bayaran yang ditawarkan tersebut adalah bercanggahan dengan hukum syarak.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tindakan individu berkenaan seolah-olah memberi gambaran umat Islam yang hendak bertaubat boleh membayar RM20 kepada pihak lain.

“JAIS menyiasat perkara tersebut dan mendapati pemilik akaun itu memuat naik poster terbabit pada 26 Jun 2021 dan telah mengubungi individu berkenaan.

“Umat Islam khususnya di Selangor diingatkan supaya berhati-hati memberi ungkapan dan penataan bahasa mengenai prinsip agama. Sebarang kesilapan akan menyebabkan kekeliruan tentang prinsip, menjadikan keadaan cemas, membuka ruang fitnah kepada agama Islam dan umatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan taubat adalah perbuatan hamba kepada Allah SWT memohon keampunan akibat perbuatan dosa yang dilakukan, tidak memerlukan orang tengah atau nilai wang tertentu supaya diterima.

“Perbuatan seumpama ini adalah satu kesalahan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Selangor. Menjual beli dosa pahala dengan harga dan nilai tertentu adalah satu perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.

“Perlakuan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN