MySejahtera: Pengiktirafan tertinggi sistem pengurusan vaksin negara - Utusan Malaysia

MySejahtera: Pengiktirafan tertinggi sistem pengurusan vaksin negara

KHAIRY Jamaluddin (tengah) mendengar penerangan daripada pihak hospital pada lawatan kerja di HRPB Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 Malaysia, MySejahtera oleh Kesatuan Eropah (EU) merupakan pengiktirafan tinggi terhadap Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pengiktirafan itu menunjukkan kesatuan itu berpuas hati dengan sistem yang diguna pakai sama ada daripada aspek keselamatan, kesahihan dan kemudahan.

Malah, katanya, pengiktirafan terhadap sistem yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu juga menunjukkan ia menepati piawaian yang diperlukan kesatuan berkenaan.

“Sebenarnya, ini adalah pengiktirafan kepada VMS. Sistem ini banyak membantu pengembara dari Malaysia nanti, pergi ke EU tiada masalah. Mereka boleh tunjuk Mysejahtera yang boleh diintegrasi dengan sistem yang digunakan EU.

“Sistem yang kita bangunkan ini memang berdaya saing dengan EU dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), malah melalui MOSTI, kita sedang berunding dengan negara-negara besar termasuk destinasi pelancongan dan pelaburan untuk mengiktiraf Mysejahtera,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lai Ming.

Menerusi laporan media semalam, EU mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 Malaysia, MySejahtera yang dianggap setara dengan apa yang dikeluarkan mengikut Peraturan (EU) 2021/953.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam satu kenyataan berkata, EU menerima sijil vaksinasi Covid-19 Malaysia yang setara dengan Sijil Digital Covid-19 EU.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Khairy memberitahu, beliau akan hadir ke prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 14 April depan berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera.

Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir ke prosiding berkenaan kerana tiada apa-apa perkara yang perlu disembunyikan.

“Sebab itu, apabila dipanggil PAC, saya pergi sebab saya mahu beri keyakinan kepada orang ramai bahawa saya tiada apa-apa untuk disembunyikan. 

“Bagi saya aplikasi ini penting, kita guna untuk Covid-19, vaksinasi dan untuk pantau pesakit di rumah. Apa yang dibentang dalam Dewan Negara dan PAC adalah keadaan sebenar bahawa data itu adalah data yang dimiliki KKM. Data itu selamat dan pangkalan datanya juga berada di negara ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN