MOTAC mahu pengusaha pelitup muka tempatan diberi panduan jelas 

MOTAC mahu pengusaha pelitup muka tempatan diberi panduan jelas 

NANCY Syukri pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian KUL Art Airport di Terminal Utama KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mahu panduan lebih jelas berhubung isu pewartaan pelitup muka bagi memastikan perusahaan yang diusahakan komuniti kraf tempatan lebih terjamin. 

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menjelaskan perkara itu. 

Beliau berkata, ramai pengusaha kraf tempatan terbabit menghasilkan pelitup muka bercorak termasuk yang menggunakan elemen kain batik dan eleman tempatan lain. 

“Kita ada ramai pengusaha kraf yang mengusahakan pelitup muka, justeru mereka perlu diberikan panduan jelas mengenai panduan baharu oleh KPDNHEP itu. 

“Kami mengalu-alukan nasihat dan panduan daripada pelbagai pihak khususnya berkaitan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi menghasilkan pelitup muka yang mematuhi kehendak MS SIRIM,” katanya. 

Sebelum ini, KPDNHEP mewajibkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Arahan itu dikeluarkan susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada 5 April lalu. 

Pewartaan ini bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan dalam perintah ini. 

Mengulas mengenai isu amalan penyediaan makanan tidak menepati standard yang dikesan di beberapa hotel di dalam negara, Nancy berkata, semua pengusaha hotel diminta supaya memastikan premis mereka dalam keadaan bersih.

Katanya, beliau mahu premis berkenaan selamat dan bersih supaya pelancong akan datang beramai-ramai ke negara ini. 

“Kita semua perlu memainkan peranan untuk memastikan tempat kita bersih dan sekiranya ada nampak kotor maklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN