MUKADIMAH
SERING menjadi sasaran pengkritik dengan tuduhan anti-Islam dan anti- Melayu, Timbalan Pengerusi DAP, NGA KOR MING tidak menjadikan ia sebagai satu kelemahan, malah satu kekuatan untuk terus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Malah, ia dibuktikan apabila diberi tanggungjawab menggalas jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan terutama dalam membantu rakyat miskin bandar dalam usaha pembaharuan semula bandar. Namun, ia turut dikritik hebat pembangkang dengan memfitnah sebagai satu cara pengusiran halus orang Melayu di bandar.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta jurufoto, FAIZ ALIF ZUBIR dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD. DERIS di pejabatnya baru-baru ini, Ahli Parlimen Teluk Intan itu menjawab segala dakwaan bersifat politik dan mahu meletakkan keutamaan matlamat untuk mengibarkan bendera Malaysia di pentas global sebagai Presiden UN-Habitat sekali gus memberi mandat kepada Malaysia menentukan dasar dunia dalam aspek pembangunan dan perbandaran.
UN-HABITAT
MINGGUAN MALAYSIA: Kenapa pentingnya Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UN-Habitat)?
NGA KOR MING: UN-Habitat adalah satu badan dunia yang mempunyai pengaruh besar di pentas global di bawah PBB yang ada 33 agensi. Namun, hanya tujuh agensi mempunyai keahlian lebih 200 negara. Antara tujuh agensi utama ini adalah UN-Habitat. Objektifnya berkaitan pembangunan perbandaran mampan.
Hari ini, 78 peratus penduduk warganegara kita duduk di dalam kawasan bandar dan akan meningkat kepada 85 peratus menjelang tahun 2040. Hanya 15 peratus akan menjadi penduduk kampung.
UN-Habitat ini penting kerana merupakan satu agenda urbanisasi yang mampan, berkualiti, inklusif serta dapat mensejahterakan rakyat. Di bawah konteks urbanisasi mampan, isu utama ialah perumahan. Ia bukan sahaja perumahan mampu tengok, tetapi juga mampu milik dan berkualiti tinggi. Slogan kita, we not only want to build livable city, we want to build loveable city.
Kedua adalah pembaharuan semula bandar. Menjelang 2027, kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-70. Maka, semua orang faham selepas 70 tahun, mengikut kefahamannya, manusia pun akan uzur, begitu juga dengan bangunan akan berada dalam keadaan yang uzur dan daif. Oleh itu, UN-Habitat itu juga berkait rapat dengan pembaruan semula bandar.
Ketiga pula adalah tentang ekonomi kita. Kita tahu kelestarian alam ini sangat penting kerana kita hanya memiliki satu bumi.
Demi kelangsungan hidup generasi akan datang, kelestarian alam sekitar itu perlu menjadi agenda tonggak pembangunan negara. Untuk UN Habitat ini, tiga-tiga agenda ini adalah antara agenda utama badan dunia itu.
Atas sebab apa YB yakin Malaysia dinobatkan sebagai Presiden UN-Habitat?
Kita bersyukur dan merakamkan penghargaan kepada Penasihat Urbanisasi Negara, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif yang juga Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Beliau pernah menjadi Pengarah Eksekutif UN-Habitat selama enam tahun. Beliau tokoh wanita benua Asia pertama dalam sejarah diberikan penghormatan menjawat jawatan tertinggi di UN-Habitat.
Jadi, untuk memastikan legasi beliau ini boleh diteruskan, kerajaan telah melantik beliau sebagai penasihat dan kita yakin minggu depan Malaysia akan dinobatkan sebagai Presiden UN Habitat. Dan ini adalah satu lagi kejayaan besar negara dan meletakkan Malaysia di pentas global.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah Forum Bandar Sedunia ke-7 di Kuala Lumpur pada 2018. Kita juga pernah menjadi tuan rumah kepada Forum Bandar Asia Pasifik di Pulau Pinang.
Dalam tempoh dua tahun ini, memang banyak usaha telah kita lakukan sehingga kita berjaya mencapai misi negara di benua Afrika. Jadi, pada 30 Mei ini, saya akan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia.
Apa manfaat UN-Habitat ini kepada negara?
Kita dapat membantu dan menentukan dasar dunia dasar global dalam aspek pembangunan dan pembandaran. Ia akan terus dapat meningkatkan imej negara untuk terus berpengaruh di pentas global.
Malah, ia akan mensejahterakan menerusi amalan terbaik di negara-negara maju lain, di mana Malaysia juga belajar dan kita amalkan dalam tanah air kita sendiri.
Sebab itu penting Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB)?
Sebenarnya garis panduan Akta PSB ini telah wujud sejak tahun 2013, sudah 12 tahun menteri-menteri KPKT sebelum saya semua sokong penuh termasuk Datuk Seri Shahidan Kasim dan Tan Sri Noh Omar, cuma mereka tiada tekad politik untuk melaksanakan semuanya. Mereka hanya lip service.
Tetapi di bawah Kerajaan Madani, kita merasakan sudah sampai masanya untuk kita komited dalam memastikan penduduk khususnya miskin bandar, golongan bumiputera miskin bandar untuk dihulurkan bantuan.
PEMBANGKANG BATU PENGHALANG
Apa caranya untuk bantu miskin bandar?
Kita hendak membangunkan semula bangunan daif, usang dan bahaya. Seperti sebelum ini saya pernah buat ekspedisi KPKT bersama ahli Parlimen dan warga media. Ada yang tidur di tepi rumah, tidur bersama dengan ular sawa, sanggupkah? Mereka yang membangkang itu tidak setuju kita hendak bantu.
Saya sudah minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memberi mereka borang mendapatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara percuma. Tetapi kenapa pembangkang menjadi batu penghalang untuk mereka ini mendapat pertolongan daripada kerajaan? Jangan halang kerajaan bantu rakyat.
Ada beberapa kes, pertama kita lihat Kampung Kerinchi, dulu flatnya 400 kaki persegi dan nilainya RM70,000. Selepas melaksanakan proses pembaharuan semula bandar, rumahnya sekali ganda lebih besar 850 kaki persegi. Dulu ada satu bilik, sekarang ada tiga bilik.
Dulu nilainya RM70,000 sekarang nilainya RM450,000. Maka kekayaannya adalah berlipat lima kali ganda. Akta ini adalah untuk mengayakan rakyat kita, membawa manfaat khususnya kepada golongan miskin bandar.
Apakah pindaan yang mahu dibuat menerusi Akta PSB itu?
Akta sedia ada adalah Akta 757 di mana undang-undang yang diluluskan di zaman penjajah itu mengkehendaki 100 peratus orang setuju, baru boleh buat pembaruan semula bangunan.
Contohnya, ada 1,000 unit, 999 unit setuju, tetapi hanya ada seorang tidak setuju. Maka semua proses pembaharuan terjejas. Adakah adil untuk mereka yang terdesak mahu bangunkan semula?
Dalam tempoh dua ke tiga tahun ini, KPKT sudah buat 78 kali libat urus dan ia merupakan rekod paling tinggi dalam sejarah. Kita sudah berjumpa dengan persatuan, pembeli rumah, pemaju perumahan, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semua sudah kita lakukan, takkan saya perlu buat libat urus sampai kiamat?
Bila nilai ambang persetujuan ini akan diputuskan?
Akta ini akan dibentangkan pada Julai ini. ambang persetujuan kita turunkan daripada 100 peratus kepada 80 peratus, ia adalah ambang persetujuan paling tinggi di dunia. Di Tokyo 66 peratus sahaja, di Shanghai hanya perlu mendapat sokongan dua pertiga, Singapura pun 80 peratus.
INI SEMUA TUKANG FITNAH
Kenapa orang Melayu masih bimbang?
Ia perlu difahami, akta ini menetapkan status tanah tidak berubah, contohnya rumah kamu sekarang tanah rizab Melayu, maka kekallah tanah rizab Melayu.
Kalau dalam pajakan 99 tahun, maka kekal lah pajakan itu. Yang tidak bersetuju dan kata penduduk asal akan dihalau keluar, ini semua tukang fitnah yang tidak ada kerja lain.
Saya dengan jelas menyatakan kamu tidak akan menerima sebarang pampasan yang kurang daripada nilai rumah kamu sekarang. Siapa yang akan tetapkan nilai? Kita hantar Jabatan Penilaian Hartanah (JPPH), ia adalah badan profesional dan tidak ada kaitan langsung dengan kementerian, dengan pemaju pun.
Saya tidak mahu tengok insiden seperti Highland Towers, bila sudah bangunan runtuh, nyawa sudah terkorban, menyesal. Jadi, janganlah semua perkara itu dipolitikkan. Fikirlah secara rasional, negara ini memerlukan politik yang membina, bukan politik yang membinasa.
PAKEJ ASTRO BOLEH BAYAR, PENYELENGGARAAN TAK BOLEH
Ramai yang menyatakan kebimbangan tentang cukai akan lebih naik bila harga rumah semakin tinggi. Mungkin akan ada yang tidak mampu untuk membelinya?
Cukai pintu mengikut nilai rumah, jika rumah lebih besar, bayar kurang, maka ia kurang adil untuk semua orang. Saya beri contoh, ada orang yang tidak mahu membayar kos penyelenggaraan, tetapi selepas kita siasat, mereka bukan tidak mampu, tetapi sikap sengaja tidak mahu bayar.
Saya pergi turun padang melihat PPR, di rumah ada astro pakej RM178, bayar sewa dan penyelenggaraan RM124 tak mampu pula? Astro boleh bayar, tetapi penyelenggaraan, sewa rumah tak mahu bayar? Sekarang tiada lagi alasan mengapa tak boleh bayar.
Kerajaan Madani sudah sediakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), tahun ini keluarga B40, jika ada tiga anak dia boleh dapat RM4,700 dengan kata lain satu bulan RM400, sewa PPR RM124, ini bukan duit kamu pun, kerajaan bagi duit. Kamu pergi ‘songlap’ pergi Hat Yai, tetapi sewa tidak mahu bayar, salah siapa? ini tak boleh salahkan kerajaan.
Kalau cakap tak boleh cari makan? Kerajaan juga beri bantuan SARA, sebulan RM100. Tangan kiri dapat STR, tangan kanan dapat SARA, setahun sudah dapat RM5,000 lebih.
Sewa rumah satu bulan RM500, cukai pintu RM40. Kamu sudah boleh bayar, itu bukan duit kamu. Itu pun kerajaan sudah bagi duit. Jika tidak ada duit, daftarlah E-Kasih.
Jadi, apa lagi alasan? Jika kerajaan tidak bantu, bolehlah cakap. Tahun ini Kerajaan Madani peruntukan RM13 bilion tunai kepada 9.1 juta rakyat Malaysia penerima manfaat. Jadi, saya tidak nampak alasan kenapa tidak boleh bayar.
Jika kamu cakap rumah di Kerinchi dulu RM70, sekarang RM450. jika kamu tidak selesa, boleh jual, kamu dapat beli lah kondominium lain. Mengapa mesti duduk sana? Boleh lah pindah sebab duit bukan tidak ada.
PENGUSIRAN MELAYU SECARA HALUS?
Mungkin ada yang menganggap itu pengusiran orang Melayu bandar secara halus dibuat?
Tidak, sebab itu saya nak tangkis sangkaan buruk ini, Apa saya dapat? Apa yang kementerian dapat dengan mengusir penduduk?
Kami hendak membantu, pemaju pun bukan bodoh. Semua pemaju berkata mereka susah hendak buat pembaharuan semula bandar. Mereka lebih sudi beli tanah sendiri, selepas itu bangunkan sendiri lagi senang, lagi murah, lagi cepat.
Mengapa mahu susah payah berunding dengan penduduk bincang sini bincang sana, dari solat Subuh sampai Isyak pun tidak selesai.
Perlu diingat, setiap bangunan ada riwayatnya lebih kurang 70 tahun. Sistem pendawaiannya kamu ingat boleh tahan selama-lamanya sampai kiamat?
Setiap pendawaian itu sama seperti manusia, sampai masa sudah perlu pergi ke klinik untuk buat pemeriksaan perubatan, bangunan pun perlu juga.
Saya boleh pilih duduk, tetapi ini bukan rumah saya pun. Apalah saya hendak sibuk-sibuk, hendak bantu rakyat. Tetapi kita di Kerajaan Madani ini berniat suci, penting untuk kita ambil tindakan terhadap bangunan-bangunan lama ini.
Apa pandangan apabila pembangkang banyak menyentuh isu Akta PSB ini dengan orang Melayu?
Jika ada pembangkang yang main isu perkauman, ini adalah antara pembohongan paling besar dalam sejarah tamadun manusia. Biasanya hanya parti politik yang muflis idea sudah bangkrap idea, mereka tidak boleh lawan dengan hujah dan fakta, maka mereka main membakar sentimen perkauman.
Saya hendak ingatkan kepada semua parti politik, jangan lupa kita semua adalah anak cucu kepada Adam dan Hawa, takkanlah saya nak halau saudara saya keluar pula?
Saya bagi contoh Kampung Kerinchi, dulu mereka pun kata kita hendak halau Melayu keluar, kita lihat sekarang selepas pembaharuan semula dekat One Residensi Kerinchi itu, 94 peratus penduduk sana semua Melayu, apa isu dia? Dulu 90 peratus, sekarang 94 peratus, yang keluar itu bangsa Cina, apa yang usir secara halus?
Dulu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar) kata, ini akta rampas rumah, kita tak rampas, kita bagi pampasan dan pampasan itu mestilah tidak kurang dari sebelumnya. Sebab itu saya kata dua perkara penting adalah status tanah kekal sama dan yang kedua adalah pampasan itu perlu lebih daripada apa yang kamu dapat dari sedia ada.
PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN
DAP dilihat terlalu mendesak dalam mewujudkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Mengapa?
Itu satu lagi taburan fitnah yang tidak berasas. Pilihan Raya Kerajaan Tempatan ini telah diwujudkan sejak kemerdekaan.
Ia pernah diadakan di mana ada Suruhanjaya Diraja yang dilantik Tuanku Agong mencadangkan supaya pilihan raya kerajaan tempatan ditangguhkan sehingga satu waktu yang sesuai. Itu adalah Suruhanjaya Diraja, apa kaitan dengan DAP? Tak ada kaitan dengan kami pun?
Sekarang penduduk di kawasan bandar, Melayu majoriti, takkanlah bila kita buat Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, maka DAP akan menguasai? Tidak.
Rakyat akan memilih yang terbaik, macam kita pilih Parlimen, DUN. Tetapi saya ingin tegaskan, ini bukan isu kerana fokus saya adalah untuk mensejahterakan rakyat.
Adakah agenda ini akan diteruskan?
Ini bukan agenda, ini terpulang kepada kehendak rakyat, satu hari nanti mana tahu yang mahukan pilihan raya kerajaan tempatan itu parti Pas pula? J
angan lupa bila Pas berada di Pakatan Rakyat, saya mahu beritahu, Pas adalah pejuang untuk Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Jadi, jangan hipokrit, sila bersikap jujur dan ikhlas.
KAMPUNG BARU CINA DAN UNESCO
Boleh YB komen berhubung isu Kampung Baru Cina yang ingin diangkat sebagai tapak UNESCO?
Kampung Baru diwujudkan sejak 1948, tahun ini berusia 76 tahun, kampung Baru wujud sebelum negara merdeka.
Suka tak suka, ia sebahagian daripada warisan sejarah negara. Lagipun Kampung Baru kini ada penduduk hampir 7 juta. Adakah mereka bukan anak Malaysia?
Jadi, cadangan untuk meletakkan Kampung Baru sebagai salah satu warisan UNESCO adalah daripada badan profesional NGO, bukan saya. NGO itu terdiri daripada ahli-ahli semuanya profesional, perancang bandar, juruukur, arkitek, sejarawan, mereka yang cadangkan. Tetapi berita keluar seolah-olah Nga Kor Ming yang cadangkan.
Ulama tapi hari-hari caci maki
Ada pimpinan Pas menganggap YB sebagai biadab kerana selalu memetik ayat al-Quran atau hadis bila berbicara. Mungkin bimbang akan salah tafsir daripada petikan ayat yang dibaca. Komen YB?
Kad Pengenalan saya ‘03’, saya orang Kelantan dan membesar di Kelantan. Jika kamu hendak dakwah tetapi agama melarang yang bukan Islam membaca al-Quran, macam mana kamu hendak dakwah?
Beritahu saya, betul atau tidak bukan Muslim dilarang membaca al-Quran?
Yang kedua, kita tidak sebut dengan sewenang-wenangnya ayat al-Quran, macam saya pun selalu sebut ada yang datang dari kitab Injil, itu bagi saya adalah satu falsafah yang boleh kita belajar. Kita perlu bersikap rendah diri, barulah kita boleh belajar. Dalam hadis pun menyebut, jika hendak belajar, belajar lah sehingga ke benua China.
Bagi saya, slogan saya, anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, sama juga anak di Sabah dan Sarawak. Jadi, sebagai seorang pemimpin, kita harus berjiwa rakyat tanpa mengira kaum, agama ataupun latar belakang.
Sebab itu, bila saya beri banyak peruntukan kepada Pas, mereka tidak pernah ucap terima kasih pun. Lihat sahaja wajah baharu pasar Siti Khadijah? Adakah Pas mengucapkan terima kasih kepada saya? Tak pernah pun, itulah bezanya siapa berlian, siapa kaca.
Walaupun setiap hari kita dihujani fitnah dan maki hamun, tetapi tidak pernah saya rasa dendam. Saya bagi kepada Kelantan RM130 juta termasuk naik taraf pasar Siti Khadijah, saya tidak pernah dengar mereka ucap terima kasih.
Saya pun tidak faham, apa jenis manusia yang bergelar sebagai ulama’ tetapi hari-hari caci maki. – MINGGUAN MALAYSIA










