Malaysia masih terdedah risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia - Utusan Malaysia

Malaysia masih terdedah risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun berjaya mencapai prestasi sifar malaria manusia bagi jangkitan tempatan dari 2018 hingga 2021, Malaysia masih terdedah kepada risiko kemasukan semula jangkitan penyakit tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, risiko kemasukan jangkitan berkenaan wujud kerana terdapat kes malaria import dalam kalangan pekerja asing yang baru tiba atau warga Malaysia yang pulang dari negara endemik malaria. 

Pada tahun 2021, tambahnya, Malaysia melaporkan sebanyak 111 kes import malaria manusia. 

“Bagi menangani ancaman ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyusun strategi baharu seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih dan memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria seterusnya melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor. 

“Di samping itu, KKM juga telah mengenal pasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk diberi tumpuan pelaksanaan aktiviti survelan malaria,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena Sambutan Hari Malaria Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 hari ini.

Objektif sambutan pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit malaria yang masih menjadi masalah kesihatan awam di Malaysia, di samping itu, menjadi platform advokasi bagi pengukuhan kolaborasi antara KKM bersama pelbagai agensi, menggalakkan inovasi serta memperluaskan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan strategi mengawal Malaria. 

Sempena sambutan tersebut, pelbagai program diatur termasuk program bual bicara radio dan televisyen, pertandingan video TikTok malaria dan pameran kesihatan berkaitan malaria sementara kemuncak sambutan Hari Malaria pada tahun ini adalah majlis pelancaran Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan yang akan menjadi pengisian utama jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di daerah Kinta, Perak pada 16 hingga 17 Julai depan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN