KPN puas hati keadaan sempadan terkawal - Utusan Malaysia

KPN puas hati keadaan sempadan terkawal

ACRYL Sani Abdullah Sani dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi EAIC di PICC, Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani amat berpuas hati dengan situasi di semua pintu masuk utama sempadan negara yang mula dibuka pada hari ini.

Beliau dalam nada ceria turut gembira kerana orang ramai memberikan kerjasama kepada semua agensi bagi melicinkan urusan kemasukan ke negara ini atau pergi ke luar negara.

“Alhamdulillah, keadaan sangat terkawal dan saya bersyukur apabila tiada kejadian tidak diingini berlaku, malah, orang awam bekerjasama bagi melancarkan perjalanan,” katanya.

 Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan bersempena ulang tahun ke-11, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, barisan pesuruhjayanya dan Ketua Pegawai Eksekutif, Norhayati Ahmad serta ketua agensi penguatkuasaan seliaan.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu mengumumkan pembukaan sempadan hari ini sejajar usaha Malaysia memasuki Fasa Peralihan Endemik Covid-19.

 Keputusan berkenaan yang disambut baik rakyat dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan Kementerian Kesihatan serta kadar peratusan tinggi vaksinasi populasi.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, secara umum tiada kesesakan yang luar biasa di sempadan darat kecuali di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru sejak lewat tengah malam tadi.

 “Apa yang sesak ketara di Tambak Johor apabila banyak kenderaan dari Singapura masuk manakala situasi di pintu sempadan di utara semenanjung pula masih lagi terkawal,” katanya.

 Begitu juga keadaan di kesemua tujuh lapangan terbang antarabangsa di Malaysia terutama KLIA di Sepang yang ujarnya, adalah dalam situasi amat baik meskipun aliran trafik tinggi.

 Beliau pada masa sama, memberi jaminan pihak polis terus memantau perkembangan semasa termasuk penugasan anggotanya bagi memastikan urusan di sempadan berjalan lancar.

Orang awam pula tegas beliau, dinasihatkan mematuhi segala peraturan ditetapkan pihak berkuasa selain peka dengan arahan terkini dikeluarkan kerajaan di semua pintu sempadan. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN